Monday, December 28, 2009

PAS Kelantan Sedia Pinda Undang-Undang Bolehkan Bukan Melayu Jadi MB


Salam 1Malaysia.

Mengikut MStar Online hari ini YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan bahawa Kelantan bersedia meminda undang-undang tubuh negeri itu bagi memberi laluan kepada orang bukan Melayu tetapi beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.

NG angkat tabik dan ingin mengucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz kerana begitu ikhlas di dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Islam. Tok Guru memberi alasannya di dalam ucapannya di Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan bahawa sesiapa sahaja layak menjadi pemimpin di Kelantan asalkan ia beragama Islam dan mengamalkan agama Islam secara benar dan total. Dengan kata lain seaiapa sahaja orang Islam tanpa mengira keturunan yang berakhlak baik dan mulia, dia layak diangkat menjadi pemimpin. Seterusnya Tok Guru berkata, beliau bersedia melantik penggantinya bukan dari kalangan orang Melayu asalkan menepati kriteria tadi.

NG doakan agar Tok Guru segera meminda undang-undang tubuh Negeri Kelantan dan segera menemui bakal penggantinya di kalangan bukan Melayu tetapi beragama Islam supaya tidaklah timbul spekulasi pengganti beliau di kalangan yang rapat dengan Tok Guru.

Saturday, December 19, 2009

KERAJAAN BN HAMPIR TERSUNGKUR


Salam 1Malaysia. Salam Blogger.

Tiga hari lepas kerajaan Barisan Nasional (BN) hampir tumbang. BN amat bernasib baik kerana masih ada 66 orang ahli parlimennya yang masih setia dan mengundi menyokong usul belanjawan 2010. Maka belanjawan 2010 itu telah berjaya diluluskan dengan hanya majoriti 3 undi. Sejarah ini tak pernah terjadi di Malaysia. Namun ia terjadi zama Dato’ Seri Najib (DSN). Ini suatu tamparan hebat kepada DSN dan kumpulannya. Namun semalam DSN telah membuat kenyataan yang tegas di Copenhagen berkait dengan isu ini.

Natijahnya, seperti yang pernah disebut oleh NG di dalam posting yang lepas bahawa nampak benar TIADA KEIKHLASAN dan KEJUJURAN di kalangan ahli parlimen BN. Ini telah amat membuktikan bahawa memang benar apa yang telah kita bincangkan minggu lepas bahawa amat ramai pemimpin BN yang mementingkan diri dan suku sakatnya. Ini jelas terbukti di parlimen tiga hari lepas ketika pengundian nak dijalankan hanya 66 ahli parlimen BN (44%) sahaja yang hadir itupun kedua-dua pemimpin utama terpaksa bergegas ke parlimen setelah dimaklumkan. Jika tidak sudah tentu kerajaan BN akan tumbang kerana jika belanjawan 2010 tidak diluluskan dengan sendirinya kerajaan BN akan terbatal.

Walau bagaimanapun syabas diucapkan kepada DSN atas kenyataan beliau semalam. Semoga diharap DSN dapat melaksana kata-kata beliau tersebut kerana isu ini amat serius kerana gelagat ahli parlimen BN ini boleh menyebabkan kerajaan BN jatuh tersungkur kerana perbuatan BN sendiri.

Inilah sikap buruk yang ada pada wakil rakyat BN yang selama ini menjadi cerminan kepada rakyat jelata. Kepada puak ini janganlah cakap berdegar-degar tetapi tangan berbau tahi. Dengan kata lain sedarlah diri; mereka dipilih rakyat untuk membela rakyat bukan untuk diri sendiri; mereka dipilih rakyat untuk menjadi kuli rakyat bukan nak jadi tuan dan kalau tidak mampu menjalankan tugas sila undurlah secara suci hati dan jangan cari dosa kering.

Friday, December 18, 2009

TAHNIAH PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA


SALAM 1MALAYSIA. SALAM MAAL HIJRAH

NG INGIN MENGUCAPKAN SETINGGI TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA DI SUKAN SEA VIENTIEN, LAOS.

TAHNIAH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT DI DALAM KEJAYAAN INI. SEMOGA KITA TIDAK PERLU MENUNGGU SETIAP 20 TAHUN UNTUK MEMEMPA KEJAYAAN SEPERTI INI. PERCAYALAH JIKA KITA IKHLAS DI DALAM PERJUANGAN APAPUN TANPA ADA SEBARANG "HIDDEN AGENDA" KITA AKAN DIBERI KEJAYAAN. TAHNIAH !!!!!!!

Thursday, December 17, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431

Syukur Alhamdulillah Dia memanjangkan usia kita untuk bertemu sekali lagi kesekian kalinya tahun Kalendar Islam. Esok kita akan menyambut tahun baru hijrah; tahun 1431.

Telah 1431 tahun Nabi besar Muhammad (saw) melakukan hijrahnya dari Makkah ka Madinah demi menyibar syiar Islam. Dan yang paling menariknya penghijrahan Rasulullah ke Madinah bersama para sahabat telah berjaya membina dan meletakkan sebuah tamaddun yang maha agung baik dari aspek agama, sosial, ekonomi dan politik. Di sinilsh bermula sebuah tamaddun Islam yang maha hebat. Inilah natijah sebuah HIJRAH.

Oleh itu masih belum terlambat untuk kita orang Malaysia khususnya seluruh umat Islam untuk bermuhasabah diri, meletakkan visi baru dan azam baru untuk memulakan sebuah tamaddun Islam yang berlandaskan seluruh ajaran Islam.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH. Semoga kita umat Islam akan diberi panduan untuk sentiasa berpegang kepada "tali Allah"

Friday, December 11, 2009

Guru VS Pembantu Kedai



Salam 1Malaysia dan Salam Blogger

Hari ini NG akan berlepas ke Hotel Sri Malaysia Temerloh untuk bersama majlis Persidangan Dwi Tahunan Pekerja-pekerja FELDA di sana. Seterusnya NG akan hadir Mesyuarat Majlis Penasihat Boroh Negara (NLAC) di Kementerian Tenaga Manusia di Putrajaya dan akhirnya NG akan bersama dengan Seminar Keselamatan Pekerja dan Sosial bersama MIOSH di Kuala Lumpur. Maka hari ini sebelum NG sibuk dengan tugas itu NG ambil kesempatan untuk menulis sedikit berkaitan pendidikan.

Hari ini, atas desakan rakan-rakan guru seluruh Malaysia yang telah sms dan e mail kepada NG mendesak agar suara kecil mereka diluahkan kepada pihak yang berwajib maka NG kira tidak salah NG mengemukakan suara mereka di sini.

Tiga hari lepas YB Dato' Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia membayangkan di Parlimen bahawa suatu hari nanti semua guru besar dan pengetua akan diberi kuasa untuk membuang dan mengambil guru di sekolah mereka demi melaksanakan sistem pendidikan yang lebih berkesan. Pada pendapat YB Timbalan Menteri, hanya guru besar atau pengetua berkenaan yang mengetahui dan mengenali yang terbaik untuk sekolah mereka.

Pada pendapat ramai ini mungkin suatu andaian yang sangat baik tetapi bagi pihak yang lain ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Kesan dari kenyataan YB Timbalan Menteri tersebut NG (yang sudah tidak lagi menjadi pemimpin kesatuan guru kerana NG banyak terlibat dengan MTUC dan menjaga hal ehwal anggota sektor awam kumpulan P&P) menerima ratusan SMS dan E Mail dari rakan-rakan seluruh negara menyatakan rasa terkejut, terkedu dan tak kurang yang marah dengan kenyataan tersebut. Kata mereka Cikgu/Guru bukannlah seorang pembantu kedai kopi atau pembantu kedai runcit yang boleh diambil dan dibuang begitu sahaja. Bagaimana dengan prosedur dan peraturan yang digunapakai di bawah Peraturan Tatatertib Kakitangan Awam dan bagaimana pula kuasa dan tugas SPP dan Lembaga Tatatertib dan bagaimana pula kedudukan hak seorang anggota sektor awam di dalam Perlembagaan Malaysia? Inilah yang mereka suarakan kepada NG.

Pabila difikir, direnung dan ditilik memang ada benar juga suara dari rakan-rakan guru tersebut. Takkanlah semudah itu prosedur yang diguna untuk membuang dan mengambil guru di sebuah sekolah. Kalau itu caranya bolehlah dipanggil ia sebagai sistem sekolah prebet atau swasta. Itupun masih lagi tertakluk di bawah Akta Boroh yang mengatakan semua majikan tidak boleh mengambil, menggaji dan membuang pekerja sewang-wenang. Ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi kalau tidak penjaralah sudahnya.

Maka dalam masa dok luah rasa hati itu adalah juga yang memberi pandangan. Antaranya ialah mencadangkan agar semua guru besar dan pengetua diajar tentang Human Management kerana pada pendapat rakan-rakan ramai antara guru besar dan pengetua ini yang jahil tentang ilmu ini sebab itulah mereka gagal mengurus sumber manusia di bawah bidang kuasanya. Kalau mereka mahir di dalam bidang ini mereka boleh pulihkan guru di bawahnya tanpa membuang atau menukarkan guru yang dianggap bermasalah itu ke sekolah lain. Kalau nak lihat sekarang ini pun amalan membuang guru dari sekolah memang sudah berjalan dan diamalkan (kerana guru besar mencari jalan singkat). Mana-mana guru yang dianggap bermasalah (padahal tak sebulu sahaja bukannya bermasalah) akan ditukar ke sekolah lain. Maka setiap masa pihak PPD sentiasa akan melakukan pertukaran guru atas kehendak guru besar/pengetua. Mengikut kata rakan-rakan; kalau semua guru besar/pengetua ada ilmu yang lengkap sudah tentu sebagai seorang yang mengurus manusia meraka akan urus stafnya walau apapun masalah yang timbul bukan dengan mencari jalan singkat; tukar saja guru tersebut. Pada guru, amalan ini tak akan menyelesaikan masalah kerana guru yang tidak dipulihkan ini akan membawa masalah di tempat baru pula. Maka sekali lagi ia akan ditukar yang akhirnya ia memberi stigma yang mendalam kepada seluruh kaum guru bahawa pertukaran itu adalah sebuah hukuman yang memblack lebel guru itu sendiri. Maka tujuan sebenar pertukaran atas sifat profesional sudah tidak wujud lagi kerana pertukaran yang dibuat adalah untuk menghukum.

Maka NG juga terfikir; apa benarkah ramai guru yang bermasalah? atau guru besar dan pengetua yang bermasalah? Maka sekali lagi benar kata orang tua: kalau sesat di hujung jalan baiklah kita kembali ke pangkal jalan. Maka NG harap apa-apa masalah yang wujud di dalam rumahtangga kita hendaklah diselesaikan secara lebih profesional. Seorang doktor pun sebelum membuat keputusan untuk memotong sesuatu organ pesakit beliau akan membuat rujukan kepada semua prosedur dan rakan-rakan pakar yang lain; bukan membuat keputusan bersifat nafsu nafsi. Oleh itu NG harap kepada semua pihak jangan segan dan malu kalau kita sesat tanyalah kepada orang tahu jalan walaupun ia hanya seorang penyiram pokok bunga. Kita harap sikap ego dan riak tidak pernah wujud di dalam bidang pendidikan negara sebab semua orang ada kekuatan; barulah dikatakan RAKYAT DIDAHULUKAN.

Rakan-raka guru juga berharap semua tindakan yang diambil hendaklah ada rasional dan telus sifatnya. Semua langkah ini diharap tidak akan menimbulkan prasangka dan prajudis sesama sendiri sebab sehingga sekarang pun soal memberi prestasi gurupun nampaknya masih menjadi isu. Ramai rakan guru yang merungut tentang penilaian pretasi mereka kerana guru menganggap mereka lebih tahu prestasi rakan-rakan mereka. Dan kalau diberi pula kuasa membuang guru; guru-guru bimbang tidak ada guru nak mengajar di sekolah kerana mereka asyik boleh dibuang bila-bila masa sahaja.

Oleh itu bagi mencari jalan tengah ada baiknya semua pemimpin guru yang berada di puncak pentadbiran memikir bagaimana kita nak memperkasa sistem pendidikan kita agar ia benar-benar menjadi suatu alat untuk membentuk seorang manusia yang perfect yang tidak jahat, yang tahu bersyukur dan berterima kasih, yang tidak mementingkan diri sendiri, yang tidak bersifat materialistik dan tidak derhaka kepada Allah.

Akhirnya marilah kita muhasabah diri; jangan sekali-kali menyalahkan mana-mana pihak dan dengan secara sedar; cuba kita bertanya kenapa rakyat Malaysia semakin KURANG AJAR sedangkan majoritinya mendapat didikan di Malaysia; di bawah sistem yang wujudkan sendiri? Adakah salah ibu mengandung?

Wednesday, December 9, 2009

SATU FITNAH ATAU KENYATAAN???


Salam 1Malaysia. Salam blogger.

Syukur hari ini dapatlah NG memuatkan satu post yang ada kaitan dengan post yang lepas.

Jika pada posting lepas NG ada menyentuh tentang perubahan yang berlaku kepada rakyat Malaysia khasnya orang Melayu maka pada hari ini NG ingin kaitkan sedikit peristiwa yang pada hemat NG ada hubungan dengan posting yang lepas.

Kononnya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mendesak YAB Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia agar menggantung tugas Setiausaha Ploitiknya Datuk Shafie Abdullah dari menjalankan tugas kerana beliau telah dituduh menyalahguna kuasa. Pada pendapat DPPWP Datuk Shafie wajar digantung daripada menjalankan tugas sejajar apa yang telah dilakukan oleh YAB Tan Sri Khalid Menteri Besar Selangor.

Dan mengikut dakwaan YB Wee Choo Keong Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju bahawa beliau mempunyai maklumat lengkap berkait dengan isu ini. Lalu parlimen bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyiasat tuduhan terhadap Datuk Shafie.

Natijahnya, inilah yang NG tulis pada minggu lepas. Inilah suasana dan inilah keadaan yang kita takut melanda UMNO. Jika selama ini kita dianggap berandai dengan hal-hal sebegini tetapi hari ini kita disajikan dengan berita yang amat tidak patut berlaku (jika ini benar).

Inilah yang banyak dibisikkan ke telinga NG. Orang UMNO memang pelahap. Orang UMNO memang tamak dan pelbagai lagi tuduhan yang amat tidak enak didengar.

Walaupun Datuk Shafie masih belum ditahan, dibicara atau disabitkan di mahkamah namun cerita begini amat tidak sihat untuk UMNO. Cerita Datuk Shafie ini sudah tentu akan diheret panjang-panjang dan ditambah dan diadun dengan pelbagai ulam yang sudah tentu akan bertambah ramailah yang akan mereka cerita menjadi ia lebih sensasi. Semua dunia rekaan ini akan berpaksikan kepada kerja untuk memburuk dan menjatuhkan reputasi UMNO/BN.

Sekarang NG pun tidak tahu nak kata apa. Datuk Shafie bukan calang-calang orang. Beliau adalah Setpol kepada Perdana Menteri Malaysia. Beliau merupakan orang kanan dan orang kiri Perdana Menteri. Maka hal sebegini amat tidak patut berlaku. Sepatutnya beliaulah orang yang paling banyak berkorban untuk rakyat kerana setiap denyut nadi dan nafas PM beliau dapat mendengar. Sepatutnya beliaulah orang yang pertama menyahut dan melaksana seala wawasan PM bukan sebaliknya.

Maka NG berdoa agar hal ini tidak benar sama sekali. Biarlah ia menjadi sebuah dusta semata-mata. Namun UMNO/BN mesti menjadi sangat gentlemen dalam hal ini. Tolong siasat segala tuduhan yang dibuat; jika ada sedikit sahaja kesilapan yang dibuat oleh Datuk Shafie, beliau selayaknya dihukum 10000 kali ganda dari orang biasa. Dan jika beliau tidak bersalah hukum pula yang membuat fitnah dan tuduhan palsu.

Tetapi kata rang tua tiada angin takkan pokok boleh bergoyang....

Monday, November 30, 2009

UMNO OH UMNO



Salam 1Malaysia.

NG amat tertarik dengan komen yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri Malaysia di dalam blognya "Che Det" berkait dengan UMNO. Tahniah kepada Yg Amat Bhg Tun kerana begitu ikhlas dan jujur memperkatakan berkenaan kedudukan UMNO dari sudut pandangannya. Memang kenyataan ini adalah pahit untuk orang biasa perkata; tetapi disebabkan yang berkata itu Tun Mahadhir maka ia tidaklah menjadi luar biasa. Ini kerana seluruh dunia sudah kenal dan sudah tahu betapa telus dan kritisnya Tun Mahadhir. Untuk orang biasa, perkara yang disebutkan oleh Tun Mahadhir itu amat terlarang dan sememangnya taboo.

Sekali lagi tahniah dan syabas kepada Yg Amat Bhg Tun kerana memulakan cetusan ini yang mungkin akan mendapat reaksi dan respon banyak pihak. NG percaya bahawa niat Tun adalah untuk memberi kesedaran kepada semua orang bahawa sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO untuk berubah dengan sejujurnya kalau ingin mengekalkan legasi UMNO itu sendiri kerana zaman beretorik sudah lama berlalu. UMNO harus menerima hakikat bahawa sekarang adalah zaman berbuat sesuatu yang telus, bersih, nampak bersih dan sangat bersih. Zaman hipokrit dan berpura-pura sudah tak laku. UMNO wajib mengakui zaman menghulur tongkat (subsidi) sudah tak makan umpan lagi. Rakyat sekarang sudah muak dengan seni lakon dan sandiwara para pemimpin UMNO. Mereka sudah jemu dan muak dengan keegoan dan kesombongan pemimpin yang hanya datang bertemu mereka empat tahun sekali. Sebenarnya UMNO sudah terkena perangkap mereka sendiri.

Maka hari ini NG juga ingin berkongsi sedikit pendapat beberapa orang rakan yang selalu bermuzakarah dengan dengan NG berkait dengan politik tanah air.

Memang diakui ada usaha untuk menyingkir dan menyekat orang Melayu daripada menjadi ahli UMNO. Di peringkat kampung atau di peringkat cawangan UMNO memang berlaku usaha penyaringan permohonan untuk menjadi ahli UMNO. Ramai rakan NG yang kebetulan ada sedikit kelulusan dari segi akademiknya tidak mendapat restu dari cawangan UMNO, lalu permohonan mereka untuk menjadi ahli dan penyokong UMNO gagal. Borang permohonan keahlian UMNO yang dihantar melalui Cawangan UMNO entah ke mana hilang dan mereka ini menunggu jawapan kelulusan untuk menjadi ahli UMNO bak menunggu buah yang tak akan gugur kerana mengikut rakan NG bahawa dia sudah menunggu kelulusan untuk menjadi ahli UMNO sudah lebih dari 25 tahun.

Dan akhirnya mereka yang ramai terdiri dari ahli profesional ini telah berpaling kepada parti PAS. Ramai rakan-rakan NG sekarang menjadi penyokong kuat PAS kerana PAS amat mengalu-alukan meraka sebaliknya UMNO telah mencipta birokrasinya tersendiri.

Sebab itulah ramailah mereka ini menjadi pembantu kepada PAS di dalam bidang kepakaran masing-masing. Untuk makluman apabila NG bertanya kepada mereka kenapa mereka bersama dengan PAS; mereka dengan jelas mengatakan bahawa UMNO memang tidak akan menerima mereka kerana mereka ini dianggap pengacau kerana mereka ini lebih cerdik dan pandai daripada pemimpin yang sedia ada. Kata mereka lagi orang cerdik tidak boleh berada di dalam UMNO. UMNO hanya menerima orang yang walaupun tidak cerdik tetapi pandai menjadi pembelit. Maka kata mereka jika UMNO menolak mereka kenapa kepakaran dan kemahiran yang ada itu mereka bazirkan sedangkan PAS memerlukannya.

Isu memilih bakal penyokong juga menjadi pokok percaturan para pemimpin UMNO. Inilah yang menyebabkan mereka sangat berhati-hati untuk menyokong dan memberi laluan kepada pemohon yang ingin meneyrtai UMNO. Kepada para pemimpin ini mereka wajib bersedia dengan ahli-ahli yang bakal menyokong mereka pada setiap musim pertandingan. Inilah yang menyebabkan mereka rela cawangannya tidak bertambah bilangan ahlinya asalkan yang ada itu adalah terdiri daripada suku sakat yang pasti akan menyokongnya yang tentu akan mempastikan kelangsungan kepimpinan tidak berpindah tangan.

Kenapakah ini terjadi? Ini semua kerana di sinilah punca segalanya. Dengan menjadi pemimpin UMNO (tidak kira peringkat mana) adalah menjadi janji bahawa di situ akan lahir mereka yang kaya, berada, mewah dan berperestij. Ini kerana menjadi pemimpin UMNO bererti mereka sudah mempunyai sebuah lampu ajaib. Niat saja pasti mereka akan dapat apa sahaja. Sebab itulah pemimpin ini sanggup buat apa sahaja asalkan mereka boleh menjadi pemimpin yang sudah tentu akan mengkayakan diri sendiri dan semua penyokongnya.

Seperti yang pernah NG tulis dalam posting yang lalu: "amat sukar kita mencari bekas atau pemimpin UMNO yang papa kedana melainkan mungkin adalah seperti antah di dalam beras".

Natijahnya, UMNO semakin tidak popular di kalangan umat Melayu. Setiap kali ada pilihan raya kita lihat pemimpin UMNO terpaksa bersengkang mata dan bekerja hingga peluh melilih ke keting turun padang berkempen demi membujuk rakyat menyokong UMNO (BN). Tetapi hakikatnya UMNO(BN) tetap ditolak kecuali di Bukit Selambau.

Maka sudah sampai masanya semua ahli UMNO khususnya para pemimpin UMNO "sedarlah diri" dan cermin-cerminlah diri adakah mereka itu layak berada di situ demi kelangsungan UMNO itu sendiri. Adakah mereka ikhlas di dalam perjuangan; atau mereka sanggup bergolok bergadai mendapatkan jawatan itu kerana perjuangan peribadi? Semua pemimpin UMNO sewajibnya bermuhasabah diri, lihat dari rambut sampai ke kaki dan cuba semak HATI itu sendiri, adakah ia bersih atau tidak? Jangan sampai kita tersungkur dengan keadaan yang amat hina di bumi sendiri kerana kekotoran hati kita.

UMNO tidak mempunyai masa yang banyak untuk membeli hati rakyat terutama orang Melayu. Orang Melayu sekarang bukan orang Melayu tahun 60han. Walaupun mereka ada yang buta huruf tetapi anak cucu mereka sudah kenal huruf bahkan ramai anak cucu mereka yang sudah menjadi ahli profesional. Anak cucu mereka sudah kenal yang mana intan dan yang mana kaca. Anak cucu mereka sudah menjadi cermin hikmat kepada mereka. Mereka lebih percayakan cakap anak cucu mereka. Anak cucu mereka jauh lebih dekat dengan mereka kalau nak banding dengan pemimpin UMNO yang hanya datang empat tahun sekali.

UMNO sudah tidak lagi boleh bercakap soal pembangunan semata-mata kerana (Melayu) sudah mempunyai mata hati. Dan orang Melayu sudah tidak lagi perlu tongkat lagi sekarang kerana anak cucu mereka sudah menjadi tongkat mereka tetapi sekarang orang Melayu ingin melihat "Pemimpin Yang Jujur, Bersih, Berpegang Kepada Prinsip Perjuangan dan Bikin Serupa Cakap". Orang Melayu muak dengan pemimpin yang bermegah dengan kekayaan hasil dari menjadi pemimpin UMNO.

Saturday, November 28, 2009

CIKGU OH GURU

Salam Blogger. Selamat Pagi Cikgu

Syukur kerana hari ini tercapai hajat NG untuk meluahkan sedikit pandangan dan cadangan kepada semua orang terutama pihak yang berkuasa.

Hari ini kita akan menyingkap kembali beberapa peristiwa sedih dan agak tragis yang berlaku kepada kaum guru di Malaysia.

Walaupun tugas utama seorang guru ialah di sekolah; tetapi banyak masanya berada di luar bilik darjah malah melangkau jauh dari sekolah atau bilik darjah. Malah ada yang terpaksa keluar dari daerah atau negeri tempat bertugas. Namun semua guru sentiasa bersedia melakukan apa saja tugas di luar bilik darjah. Mereka sentiasa bersedia demi tugas dan demi mempastikan anak didik mereka sentiasa mendapat perhatian dan didikan yang terbaik.

Namun apakah seluruh ahli masyarakat di Malaysia sedar dan faham akan risiko yang dihadapi oleh seorang manusia yang bergelar guru. Seperti mana yang kita tahu risiko tetap ada di mana-mana. Ia tidak memilih apa profesion sekalipun. Risiko tetap menghambat seorang guru walaupun tugas asasi seorang guru adalah di dalam bilik darjah. Umpamanya kemalangan yang mungkin berlaku kepada anak didiknya di dalam pagar sekolah atau berlaku di luar pagar sekolah. Semua kemungkinan ini sentiasa meresahkan hati seorang guru sebab sepanjang hidupnya mereka kena berurusan dengan manusia tidak seperti mereka yang mengurus sebuah kilang. Maka guru kenalah sentiasa berwaspada dan berhati-hati setiap masa; silap haribulan bukan hanya nyawanya yang melayang tetapi surat sapina dari mahkamah yang akan tiba di tangan.

Inilah senario yang harus semua ahli masyarakat fikirkan dan sama-sama mencari jalan yang baik.

Di Kota Tinggi, Johor pernah terjadi dua orang guru maut bersama anak-anak muridnya di dalam kemalangan jalan raya. Di Gunung Ledang, Johor seorang guru maut sewaktu mengikuti ekspedisi pelajarnya di sana. Dan baru lagi tiga murid mati lemas apabila jambatan gantung yang mereka lalui runtuh. Sekarang apa yang dilakukan oleh seluruh masyarakat Malaysia bagi meringankan sedikit beban psikologi yang ditanggung oleh guru kita. Seperti kenyataan yang menjadi tradisi; apapbila ada murid yang berjaya sama ada di bidang akademik atau kokurikulum maka ibubapa atau keluarga yang melakukan segala-galanya tetapi apabila berlaku kegagalan atau musibah maka guru akan tanggung segalanya. Inilah hakikat yang sedang dan akan dilalui oleh seorang guru.

Maka marilah seluruh warga guru dan yang mereka yang mengurus guru untuk berfikir setidak-tidaknya untuk mengurangkan sedikit kemungkinan risiko yang berlaku. Janganlah cerita sedih ini akan tetap berulang sampai bila-bila. Pihak guru yang sentiasa akan akur dengan apa sahaja arahan untuk melaksanakan tugas amat berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil inisiatif yang bersungguh untuk mengurangkan sedikit risiko yang dihadapi mereka.

Seperti yang kita sedia maklum, risiko akan berlipatganda apabila ada kegiatan di luar sekolah atau di luar kawasan sekolah yang melibatkan pergerakan menggunakan kenderaan. Sudah menjadi amalan biasa apabila ada aktiviti atau kegiatan di luar sekolah, maka guru akan diarah untuk menggunakan kenderaan mereka bagi mengangkut pelajarnya ke arena aktiviti. Atas rasa tanggungjawab maka guru dengan rela hati menggunakan kenderaan mereka untuk dijadikan "teksi prebet" untuk mengangkut anak murid kesayanganya.

Timbul persoalan di sini ialah; adakah halal dan sah di sisi undang-undang jalan raya seorang guru menggunakan kenderaannya untuk mengangkut pelajarnya? Walhal kita semua tahu bahawa kereta persendirian yang memiliki perlindungan insuran juga secara persendirian tidak berhak untuk mengangkut orang lain selain penama yang ada di dalam insuran keretanya. Inilah risiko "atas darat" yang terpaksa dihadapi dan mungkin ditanggung oleh guru tersebut jika terjadi sebarang musibah. Inilah yang terjadi kepada guru di Kota Tinggi. Namun ia "agak bernasib baik" kerana ia juga turut maut di dalam kemalanagn tersebut. Kalau guru itu masih hidup kita tidak tahu berapa juta ia akan disaman.

Maka kita harap "risiko kering" yang dihadapi oleh para guru ini dapatlah kita buang sama sekali.

KATA GURU:

DI SETIAP DAERAH TERDAPAT BANYAK BAS ATAU KENDERAAN KEPUNYAAN KPM YANG DITABUR KE BEBERAPA BUAH SEKOLAH YANG TERPILIH. DI SITULAH BAS TERSEBUT DI LETAK. MAKA SEKOLAH YANG YANG MENJADI AMANAH MENJAGA BAS TERSEBUTPUN MEMILIKILAH SEMUA BAS TERSEBUT MACAM HARTA DIA. PADAHAL ITU BUKAN BAS MEREKA, SEBALIKNYA IA ADALAH KEPUNYAAN KPM. MAKA SEKOLAH YANG BERNSIB BAIK INI AKAN MENGGUNAKAN BAS TERSEBUT HANYA UNTUK ANAK MURID MEREKA SAHAJA. BAGI SEKOLAH YANG TIDAK DIAMANAHKAN MENJAGA BAS KPM INI TERPAKSALAH MENERUSKAN RISIKO KERING INI SAMPAI BILA-BILA.

MAKA KATA GURU:

ADALAH LEBIH BAIK SEMUA KENDERAAN KPM INI DILETAKKAN DI PEJABAT PELAJARAN DAERAH MASING-MASING BERSAMA PEMANDU DAN PERUNTUKAN WANG MINYAK DAN PENYELENGGARAAN BAS UNTUK DIGUNAKAN OLEH SEMUA SEKOLAH TERUTAMA SEWAKTU TERDAPAT APA-APA PESTA ANJURAN JPN ATAU PPD. JIKA INI DAPAT DILAKSANAKAN BUKAN BEBAN KEWANGAN YANG DITANGGUNG OLEH SEKOLAH KECIL DAPAT DIRINGANKAN TETAPI KESELAMATAN ANAK-ANAK KITA TURUT TERJAMIN. MAKA CIKGU TIDAK MENGELUH LAGI.

INI LEBIH BERBALOI DAN RISIKO KERING AKAN PADAM BUAT SELAMANYA.

Inilah keluhan ramai rakan-rakan guru.

Friday, November 27, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA


Assalamualaikum. Salam Blogger

Syukur ke hadrat Allah Subhanahuataala kerana hari ini diberiNya masa untuk saya mencatat sesuatu di sini.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Selamat Hari Raya Qurban. Didoakan agar semua umat Islam yang sedang mengerjakan Rukun Islam Kelima di Makkah Tul Mukarramah akan dikurniakan Haji yang Mabrur.

Juga didoakan sempena Hari Raya Qurban ini Allah akan memberi perlindungan dan keberkatan kepada semua kita.

Didoakan juga agar segala kekusutan yang berlaku di negara kita akan langsai dengan mudah dan jaya.

Dan akhirnya marilah kita bersama seluruh rakyat Malaysia agar hati-hati kita dijauhi dari segala perasaan jahat, dengki, khianat, haloba, mementingkan diri dan suku sakat kita.

Kita memohon agar setiap dari kita akan menjadi manusia yang paling jujur dan paling ikhlas. Jauhkanlah hati kita dari dipengaruhi oleh agenda persendirian (personal agenda) di dalam apa jua tugas kita. Ingat bahawa kita diutuskan olehNya adalah untuk mensejahterakan alam. Eloklah kita menjadi manusia yang tulus dan luhur dan jangan sekali-kali menjadi manusia yang suka bermuka-muka (hipokrit) kerana orang yang hipokrit adalah berdosa. Maka jauhkanlah diri kita dari rasa dengki dan iri hati dan sikap ingin menjatuhkan orang lain apatah lagi rakan dan sahabat kita.

Kita juga mohon agar hati dan sanubari kita dipenuhi dengan rasa kasih sayang, mahabbah dan sentiasa berfikiran baik terhadap satu sama lain. Kita juga berharap agar kita semua akan meletakkan kepentingan Agama, Negara dan Bangsa mengatasi segalanya. Amin

Sunday, November 15, 2009

DR MAZA AKAN DIDAKWA


Salam Blogger.

Terima kasih LF kerana banyak membantu NG untuk mendapat maklumat. Mengikut LF Dr Maza akan didakwa pada 18 November 2009 ( ini pun spekulasi ). Namun NG rasa lega kerana teka teki ini hampir berakhir.

Seperti dalam posting yang lepas NG ada menyebut bahawa musim tuduh menuduh dan fitnah memfitnah sudah tidak relevan lagi. Ini kerana semua orang boleh buat pelbagai andaian dan tuduhan. Ini termasuklah kes Dr Maza. Dari seorang pensyarah universiti kemudiannya dilantik sebagai mufti, kemudiannya beliau banyak terlibat dengan pelbagai majlis ilmu tidak kira apa platform sekalipun ( yg istimewanya Dr Maza tidak minta upah ) akhirnya ke balai polis kerana ditangkap sedang bercakap soal agam Islam. Kemudiannya terpaksa menunggu berjam jam untuk disebut kes dan akhirnya Dr Maza dijamin dengan bon JAIS. Sementara menunggu beliau didakwa pelbagai tuduhan dibuat oleh pihak berkuasa; mula dengan mengajar tanpa tauliah, isu sijil palsu kemudiannya dikatakan mengajar fahaman wahabi.

Inilah senario yang amat mengelirukan orang ramai. Terlalu banyak kesalahan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Nampak benar dolak dalihnya. Dan yang paling jelas kurang cerdik ialah pada kebiasaan tuduhan akan dibaca di mahkamah serta merta atau selepas ditahan reman apabila pesalah ditangkap. Tetapi kejadian berlaku terhadap Dr Maza ialah tangkap dulu baru nak siasat. Inilah yang dikatakan "JAIS boleh".

Tangkap baru nak fikir apa salah Dr Maza dan sementara disiasat maka pelbagai tuduhan dilontar terhadap Dr Maza. Maka orang ramaipun keliru; mana satu keslahan Dr Maza yang sebenar? Harapan kita agar pada 18 haribulan ni semuanya akan terjawab.

Natijahnya JAIS mesti bekerja keras bagi memastikan arang tercalit dapat dibersihkan. Sebab itulah NG di dalam posting yang lepas begitu bersungguh mencabar JAIS agar membuktikan segala tuduhan terhadap Dr Maza. NG tidak mahu kokok berderai tetapi tangan berbau tahi. NG juga di dalam posting yang lepas banyak mencabar JAIS segera mendakwa Dr Maza agar JAIS tidak disamakan dengan pertandingan raja lawak sebab rakyat Malaysia sangat berfikiran kritis.

Wednesday, November 4, 2009

ANTARA HUSAM DAN NIK AZIZ


Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Entah apa mimpi yang YAB Dato' Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia dapat atau entah apa petunjuk yang beliau terima kita tak tahu kerana hari ini beliau telah umumkan bahawa Negeri Kelantan juga akan diberi hak untuk menikmati wang hasil minyak mulai tahun 2010 walaupun dari segi undng-undang Kelantan sebenarnya tidak layak.

Telah begitu lama Kerajaan Kelantan menagih wang tersebut tetapi tidak berhasil. Namum berita yang mungkin menggembirakan rakyat Kelantan itu muncul di parlimen hari ini. Sama ada ini adalah sebahagian daripada strategi 1Malaysia atau ini mungkin juga sebahagian daripada strategi DS Najib ingin berbudi dengan rakyat Kelantan agar dapat merampas Kelantan di dalam pilihanraya akan datang kita tidak tahu. Tetapi yang pastinya jika wang ehsan ini hadir di Kelantan sudah tentu banyak perubahan yang akan berlaku di Kelantan.

Namun berita wang ehsan ini sebenarnya sangat tidak menarik jika kita melihat kepada refleksi pemimpin PAS di Kelantan itu sendiri. Yang menariknya ialah respon dua pemimpin Kerajaan Kelantan; pertamanya dari YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS Pusat dan keduanya dari EXCO Kanan Kerajaan Kelantan YB Dato' Husham.

Seperti di dalam posting yang lepas NG ada sebut bahawa kita sebagai bukan orang politik amat sukar memahami sepak terajang politik PAS. Apa tidaknya? Tuan Guru Nik Aziz akan melangsaikan nazarnya untuk berpuasa tiga hari kerana kerajaan pusat meluluskan wang ehsan kepada Kelantan walaupun tidak senang dengan istilah wang ehsan. Namun dalam masa yang sama EXCO Kanan Kerajaan Kelantan yang merupakan ahli Majlis Tertinggi PAS Pusat mentah-mentah menolak sumbangan wang ehsan tersebut dan sebaliknya bercadang untuk membawa isu royalti minyak ini ke mahkamah di Amerika Syarikat. Yang kita rasa pelik dan ajaib ialah dari mana keputusan menolak wang ehsan itu Husam dapat. Adakah keputusan menolak itu telah dibuat di dalam mesyuarat exco Kelantan, atau adakah keputusan menolak itu merupakan pendirian PAS Kelantan setelah dibuat mesyuarat tergemparnya atau adakah kenyataan Husam itu merupakan pendapat nafsu nafsi peribadinya yang langsung tidak mendapat restu MB atau Jawatankuasa PAS Negeri Kelantan. Entahlah YB Husam, kalau terlajak perahu boleh gosetan tapi terlajak kata YB kena cari orang kuat untuk backing YB. Kalau tidak orang akan panggil YB Husam ibarat lebih lajak pada laju.

Sebab itulah NG katakan kita sukar nak faham permainan politik PAS; satu kata terima dan bersyukur dan yang satunya tolak bulat-bulat. Dan yang membuat kenyataan pula jauh beza kategorinya; yang satu Menteri Besar merangkap Mursyidul Am dan yang seorang lagi adalah EXCO dan hanya bertaraf ahli majlis teringgi PAS Pusat. Alahai pening kepala deng - kato orang nogori.

Sebab itu Tuan Guru kata ada orang yang ghot ghat dalam PAS ... alahai

SIJIL DR MAZA PALSU


Salam Blogger. Salam 1Malaysia.

Baru terbongkar hari ini bahawa orang yang bernama Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah penipu. Beliau berjaya menjadi seorang pensyarah, pendakwah yang akhirnya menjawat jawatan yang paling tinggi di dalam bidang agama Islam di dalam sesebuah negeri; iaitu Mufti yang bergelar Sahibul Samahah. Hebat Dr Maza. Drama dan sandiwara penipuannya berjaya mengabui semua pihak termasuk DYM Raja-raja Melayu yang telah bersetuju melantik beliau menjadi Mufti. Begitu juga pihak Rektor dan Senet UIA sendiri terbodoh oleh lakonan Dr Maza sehingga menghantar beliau untuk menyambung pelajaran ke peringkat PHD. Alangkah bodohnya orang lain kecuali seorang pegawai JAIS yang telah mendedahkan status Dr Maza. ( Lihat dalam Utusan Online 3/11 ) yang telah menipu taraf ijazahnya.

NG memandang perkara ini sudah menjadi semakin serius. NG melihat isu ini bukan lagi isu tauliah tetapi sudah menjadi isu penipuan yang paling tinggi standardnya. Hal ini tak boleh dibiarkan berlaku apatah lagi ia melibatkan Agama Islam.

Maka NG mencadangkan JAIS ambillah langkah yang sebaiknya. Jangan dibiarkan perkara ini berlanjutan. Ambillah tindakan yang seberat-beratnya kepada Dr Maza.

Bagi NG dan mungkin rakan-rakan lain amat bersetuju bahawa musim tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah dah berlalu. Kalau anak jantan; keris sudah sama di tangan; gelanggang sudah lama terbentang, ayuh hayun langkah. Tak guna kokok berderai di dalam reban yang akhirnya ekor dan kepala bersalut najis. Kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang berdakwat biar sampai hitam dan alang-alang kita dah melangkah jangan sekali toleh ke belakang. Ayuh JAIS, sinsing lengan dan kaki teruskan perjuangan. Pastikan kemenangan. Jangan sekali-kali mundur kelak orang menggelar kita AYAM BETINA.

Monday, November 2, 2009

DR MAZA AKAN DISIASAT


Salam Blogger. Salam 1Malaysia

Sah Dr Maza tidak didakwa pada hari ini. Dr Maza terpaksa hadir dua kali ke mahkamah atas kebijaksanaan pengurusan JAIS.

Inilah yang NG takut dan bimbang. Dalam posting awal NG minta supaya Dr Maza didakwa dan dibicarakan atas apapun kesalahan yang dilakukan. Jika didapati beliau bersalah ambillah tindakan yang sepatutnya seperti yang disaran oleh undang-undang yang ada.

Tetapi amat malang dan memalukan Dr Maza tidak didakwapun malah pihak JAIS sendiri menjamin Dr Maza. Memang memalukan. Di mana kredibeliti JAIS yang sepatutnya menjalankan tugas mengikut lunas Islam. Apatah lagi yang mengepalai Islam di Selangor ialah PAS.

Mengikut berita yang tersebar lebih dua puluh pegawai JAIS dan mata-mata yang digunakan pada malam tadi. Alangkah membazirnya tenaga, masa dan wang ringgit. Kalau JAIS cerdik dia tak buat kerja ni. Dr Maza hanya seorang. Dia bukan penjenayah atau penjahat bersenjata. Maka tak perlulah gunakan pegawai yang begitu ramai.

Kesimpulannya nampak sangat segelintir pegawai di JAIS ni kurang cerdik. Maka bapa kepala di JAIS tolong lihat ini sebagai sesuatu yang serius. Ambil tindakan yang sewajarnya. Jangan nanti kerana sorang dua ni JAIS khasnya dan Islam amnya dijadikan bahan ketawa. Maka kalau nak ketawa tak payah lagi tengak program raja lawak, pergi saja ke JAIS kita boleh ketawa sampai pecah perut.

Apapun hanya JAIS yang tahu segalanya. Janganlah isu ni dijadikan bahan lawak, maka JAIS pastikan Dr Maza diambil tindakan akhirnya yang pasti akan membersihkan arang di muka.

DR MAZA DITAHAN


Baru semalam kita mendengar Persatuan Peguam Syarie membantah tawaran Dr. Maza sebagai Yg Di Pertua YADIM. Hari ini kita dimaklum pula Dr Maza telah ditahan di sebuah banglo di Ulu Klang.

Ada kawan berkata ini semua tidak ajaib dan tidak pelik sebab Malaysia Boleh. Apa sahaja boleh berlaku di Malaysia kerana Malaysia Boleh. Itu kata dia.

Terfikir juga NG; kenapa Dr Maza ditahan? Mungkin beliau tiada permit (kata orang Terengganu) untuk beri kuliah atau ceramah agama. Kalau begitu di keliling kelalang rumah NG boleh kata setiap malam ada orang berceramah agama (kadangkala politik) tidak ada masalah pun. Pening kita dibuatnya. Ini semua permainan gajah. Gajah sama gajah bergaduh maka semut mati terpijak.

NG pernah kenal Dr Maza. NG pernah beberapa kali bersama Dr Maza di dalam seminar dan forum di IKIM. NG juga pernah menjadi ahli panel bersama beliau di IKIM. Dan NG juga pernah sekali dua bermuzakarah dengan mantan Menteri Besar Perlis (DS Sahidan). NG bukanlah pandai sangatpun dalam bidang agama tapi setakat NG dok bincang dengan Dr Maza ni NG fikir tiada sangat masalah. Cuma mungkin cara pendekatan beliau adalah amat berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh ulama konvensional.

Maka NG harap janganlah tindakan yang diambil ni menjadi bahan ketawa orang ramai. NG harap jika Dr Maza bersalah pastikan beliau dihukum. Dan sila ambil juga tindakan kepada yang semua penceramah yang tidak ada permit.

Sunday, November 1, 2009

ANTARA EGM DAN SEMINAR

Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Maaf kerana lama dah tak menulis di laman ini disebabkan seminggu dua saya agak kesuntukan waktu kerana banyak tugas luar yang terpaksa diuruskan. Namun saya tetap mengikuti perkembangan yang berlaku terutama yang melibatkan politik tanah air.

Baru-baru ni Mursyidul Am PAS YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz cadangkan supaya PAS juga adakan EGM macam MCA bagi membersihkan PAS dari anasir yang tak diperlukan. Mengikut kata, yang dimaksudkan ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Setiausaha Agung PAS Pusat dan Timbalan Presiden PAS Pusat. Ramai yang terkejut dengan kenyataan Nik Aziz kerana yang nak dibuang dari PAS tu bukan calang-calang kedudukannya di dalam PAS. Mereka ni amat tinggi kedudukannya. Tabik spring pada Nik Aziz. Memang Nik Aziz orang yang berani dan telus. Tak suka kata tak suka; jangan hipokrit atau pura-pura. Benci tapi rindu, ini orang dah tak pakai lagi. Kalau benci katakan benci, kalau sayang katakan sayang. Dan sekali lagi syabas Nik Aziz.

Namun yang terfikir kepada kita ialah Nik Aziz sedar atau tidak bahawa ketiga-ketiga anasir yang tak dikehendaki tu telah dipilih dalam muktamar bukan dilantik begitu saja. Mereka ini telah disaring dan diundi oleh ramai perwakilan. Ini bermakna mereka ini telah dipilih oleh majoriti ahli PAS untuk mewakili mereka dan memimpin PAS bagi menegakkan perjuangan PAS. Dengan kata lain ketiga-tiga anasir yang tak dikehendaki ni adalah merupakan suara majoriti ahli PAS.

Senario seterusnya ramai di kalangan kepimpinan PAS tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul PAS itu. Maka bagi mencari jalan tengah Jawatankuasa Tertiggi PAS memutuskan supaya diadakan satu seminar PAS bagi menggantikan EGM. Maka Nik Aziz dalam kenyataannya menyatakan beliau berpuashati dan gumbira dengan keputusan itu.

Walau bagaimanapun, bagi kita yang cetek dengan sepak terajang politik ni tertanya-tanya pula apa status EGM dan apa status seminar? Inilah yang mejadi persoalannya sekarang kerana EGM dan seminar ni amat jauh power dia, macam dunia dengan cakrawala lain. Entahlah. Harap YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz fikir-fikirkan apa objektif EGM dan apaobjektif seminar nanti.

Tuesday, October 13, 2009

LAWATAN KE BANGKOK, PATTAYA, AYUTHIYA, CHIANGMAI, CHIANGRAI DAN MESAI

Salam 1Malaysia

LAWATAN KE BANGKOK, PATTAYA, AYUTHIYA, CHIANG MAI, CHIANG RAI, MESAI

Adalah dipelawa kepada semua pihak untuk bersama-sama membuat lawatan ke Bangkok, Pattaya, Ayuthiya, Chiangmai, Chiangrai dan Mesai.

Tarikh: 18 Disember hingga 24 Disember 2009 ( 8 hari 7 malam )

Tempat Melawat:

1. Bangkok - Sekitar bandaraya Bangkok dan Floating Market
2. Pattaya - Sekitar Bandar Peranginan Pattaya
3. Ayuthiya - Melawat tapak bandar purba Ayuthiya
4. Chiang Mai - Doi Pui, Night Market dan persekitaran Bandaraya
5. Chiang Rai - Pekan Air Panas (Pasar Permata) dan
Tapak Orang Hulu (Mae Hong Song - leher panjang)
6. Mesai - membeli-belah pelbagai barangan termasuk permata.

Kos: RM890.00 seorang ( dewasa )

Kaedah Bayaran:

1. Semua peserta boleh buat bayaran penuh mulai sekarang atau
boleh membuat bayaran diposit RM300.00 dan baki dibuat dua minggu
sebelum berangkat

Kos yang dikenakan adalah untuk:

tambang pergi balik, hotel berdua, makan tiga kali sehari, tourist guide dan insuran sepanjang perjalanan


Kaedah Perjalanan:

Menggunakan Bas Dua Tingkat ( Insya Allah amat selesa )

Pasport:

Peserta boleh menggunakan pasport antarabangsa persendirian atau menggunakan
pasport berkumpulan yang akan diuruskan oleh pihak pengajur - sila sediakan
dua keping gambar berukuran pasport, dua salin kad pengenalan dan RM20.00

Urusan Pelepasan Ke luar Negara:

Para peserta yang terdiri dari kakitangan kerajaan hendaklah memohon kebenaran ke luar negara melalui majikan masing-masing mulai sekarang


Kepada yang berminat sila hubungi:

Anuar bin Ibrahim - Tel 019 9153077
- anuarkgn@yahoo.com

Ambil peluang ini untuk beristirehat bersama keluarga.
Insya Allah kalian akan berpuas hati dengan trip ini kerana ia akan berbaloi.

Hubungi kami segera.

Monday, October 12, 2009

ISA SAMAD MENTOR BN

Tahniah Tan Sri Mohd Isa Samad. Tahniah kepada semua jentera BN PRK DUN Bagan Pinang. Dan tahniah juga kepada calon dan seluruh penyokong PAS.

Semalam UMNO/BN telah berjaya menafikan segala tohmahan dan tuduhan liar yang mengatakan UMNO/BN sudah tidak relevan lagi. Dengan majoriti besar di luar jangkaan pula tuh UMNO/BN sudah tentu dapat menyangkal apa saja persepsi negatif terhadap mereka. Kemenangan Isa Samad di Bagan Pinang menjelaskan kepada semua pihak bahawa UMNO/BN adalah sebuah parti yang tetap utuh sepanjang zaman. Syabas Isa Samad. Syabas UMNO dan Syabas BN.

Dalam pada itu, adakah semua pemimpin UMNO/BN menjangka dengan majoriti yang akan dicapai Isa Samad? Nyatanya semua orang terkejut dengan kemenangan kali ini walaupun Bagan Pinang adalah kubu UMNO. Natijahnya kemenangan ini mesti dibantu oleh faktor-faktor tertentu yang hanya Isa Samad yang makluminya.

Maka kita harap semua pemimpin BN ambil iktibar dari peristiwa ini. Yang paling baiknya ambillah Isa Samad sebagai mentor....

Sunday, October 11, 2009

PERJUANGAN KAUM GURU SIRI 1

Sakam blogger n Salam 1Malaysia

Sekali lagi YG akan cuba memahamkan sedikit sebanyak kepada mereka cuba ingin faham berkait dengan union atau kesatuan sekerja. Dan terima kasih banyak kepada mereka yang cuba ingin faham dan menghayati apa NG akan tulis di dalam posting kali ini. Diharap dengan sedikit catatan ini akan berubahlah hendaknya pandangan serong sesetengah pihak terutamanya golongan yang memang anti dan takut dengan union. Diharap segala fitnah dan cerita songsang yang dilemparkan kepada union akan terhakis hendaknya.

Seperti yang YG sebutkan di dalam posting sebelum ini bahawa kesatuan sekerja merupakan sebuah organisasi halal dan direstui oleh kebanyakan negara di dunia ini termasuklah di Malaysia. Di negara kita semua union ditubuh di bawah akta kesatuan sekerja dan ini bermakna semua program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh mereka sentiasa dipantau dan ia adalah halal dan diluluskan oleh kerajaan. Maka tidak timbul lagi soal mereka yang terlibat dengan union telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara. Untuk makluman juga di bawah akta tersebut terlalu banyak undang-undang kecil yang memberi kuasa kepada semua pegawai di Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk memantau semua union. Dengan kata lain amat kecil peluang untuk union abolish undang-undang negara kerana semua surat-menyurat dan minit mesyuarat mesti dimaklumkan kepada pegawai penguatkuasa. Maka tidak timbul lagi soal pemimpin union mengambil kesempatan untuk diri sendiri. Namun di samping undang-undang dan peraturan diwujudkan untuk pihak kerajaan memantau union kerajaan juga mewujudkan beberapa kemudahan untuk kemudahan para unionist. Misalnya mereka ada diperuntukkan cuti tanpa rekod untuk dipohon kepada majikan jika mereka perlukan untuk kegiatan union. Soal unionist ponteng kerja atau mengolo tak timbul langsung.

Dalam konteks union guru terutama NUTP, ramai pemimpinnya yang terpaksa menerima musibah dan akibah hasil dari perjuangan mereka demi meletakkan kaum guru ke tempat yang sewajarnya. Dengan kata lain semua pemimpin union adalah terdiri dari mereka yang telah sanggup untuk menghadapi apa jua cabaran dari mana-mana pihak aslkan cita-cita organisasi tercapai.

Berbalik kepada tugas utama union ditubuhkan. Dalam konteks union guru; cuba kita renong dan fahami perjalanan dan pengalaman profesion ini sejak belum merdeka, pasca merdeka dan mutakhir ini. Ia jauh berubah seperti langit dan bumi. Jika dulu gaji guru bermula dengan RM25.00 sebulan tetapi sekarang lu fikirlah sendiri. Oh.. kalau union tadak pun gaji tetap berubah, ia mengikut peredaran masa dan zaman. Memang betul dan tepat sekali. Tetapi dalam masa yang sama kita harus ingat dalam mana keadaan sekalipun tak pernah berlaku sebiji mempelam akan terus masuk ke dalam mulut kita untuk ditelan. Ia sudah tentu melalui suatu proses yang panjang bagi mempastikan buah mempelan tersebut menjadi bahan yang bakal terisi ke dalam perut kita. Tiada jalan pintas dan mudah dalam perjuangan kita. Ia sudah tentu memerlukan suatu semangat yang jitu dan kental dan diiringi dengan ilmu serta kemahiran yang tinggi kepada setiap pemimpin union terutamanya. Ia tidaklah semudah memakan kacang putih di gerai mamak.

Mari kita lihat pada zaman dahulu kala. Dahulu banyak syarat yang terpaksa diikuti oleh guru. Misalnya gaji guru perempuan adalah jauh lebih rendah dari guru lelaki dan mana-mana guru perempuan yang melahirkan anak terpaksa meletak jawatan tanpa sebarang pampasan. Sebaliknya sekarang semua peraturan itu sudah tidak dipakai bahkan pelbagai kemudahan diberi kepada guru wanita ketika mengandung dan bersalin begitu juga kita lihat guru wanita sudah banyak menguasai jawatan tinggi di dalam sistem pendidikan kita. Adakah itu semua semua dapat dengan hanya meriba tangan atau hanya pakai niat saja?

Begitu juga apabila pada awal 80han kita dapati ruang baik pangkat guru begitu kritikal sekali. Guru hanya boleh naik pangkat apabila mereka menjawat jawatan guru besar sahaja. Maka kita dapati kerusi naik pangkat amatlah sempit bagi kaum guru. Di sinilah union memainkan peranan mereka. Mesyuarat demi mesyuarat, perbincangan demi perbincangan dibuat yang memakan masa, tenaga dan belanja yang bukan sedikit. Pengorbanan para pemimpin union ketika itu tidak ternilai. Dan pada akhirnya apabila semua ruang perbincangan telah buntu union mengambil keputusan membuat suatu perhimpunan besar di Dewan Sivik, Petaling Jaya tanpa mengira soal risiko yang bakal dihadapi. Para pemimpin ketika itu tidak lagi meletakkan kepentingan diri mereka sebaliknya mereka sanggup berkorban demi sebuah perjuangan yang mempastikan guru diberi ruang seperti pegawai lain. Akhirnya wujudlah Laporan Abd Rahman Arshad (LARA) yang di dalamnya terkandung 75 muka surat yang mengandungi pelbagai cadangan penambaikan skim perguruan yang diserah kepada YAB Perdana Menteri. Syukur PM Mahadhir telah mengarah KPM melihat dan memberi keutamaan kepada kebajikan guru dalam banyak hal. Inilah sebenarnya titik tolak kepada perubahan yang berlaku di dalam profesion perguruan. Dari LARAlah union telah bergerak tanpa menoleh kebelakang demi berjuang dan mempastikan guru diterima sebagai sebuah entiti di dalam masyarakat kita.

Ini adalah sekelumit lipatan sejarah perjuangan union guru di Malaysia. Ia bukannlah semudah yang ditadah dan diterima oleh kaum guru sekelian. Jangan kita tersalah faham dan tersalah tafsir bahawa semua yang kaum guru dapat memang sudah dirancang oleh pihak kerajaan khususnya JPA. Sebenanrnya JPA dan kerajaan memerlukan maklumat, saranan dan desakan setiap masa bagi membuat perubahan-perubahan semasa.

Inilah sedikit cerita yang dapat kita kongsi buat kali ini. Hanya mereka yang benar-benar tahu akan memahami sejarah dan perjuangan union yang akan bersimpati dan bersyukur. Dan ingatla perjuangan ini tidak akan pernah berakhir kerana setiap saat akan berlaku perubahan. Insya Allah kita akan berjumpa lagi.

Thursday, October 8, 2009

KALAU JAHIL SILA BELAJAR

Salam blogger dan slam 1Malaysia.

Hari ini saya rasa lega apabila dapat membuat catatan di sini. Sebenarnya sebelum saya membuat catatan ini saya sudah banyak kali berfikir dan istiqarah. Prinsip dan pegangan saya ialah saya tidak akan bergaduh atau berbalah dengan orang jahil, bebal dan bodoh sebab kalau kita bergaduh dengan orang gila; orang kata bukan orang tu yang gila tapi kita yang gila. Tetapi entah kenapa kali ini saya tidak lagi dapat bertahan dengan prinsip yang pegang itu.

Nyatanya sehari dua baru-baru ini ada seorang pemimpin guru (ada pangkat) membuat kenyataan terbuka bahawa semua guru tak perlukan kesatuan (union) untuk membela mereka sebaliknya semua guru hendaklah berusaha secara sendiri untuk mencapai kejayaan baik untuk naik pangkat atau sebagainya. Tak payahlah harapkan union bantu mereka sebab kata pemimpin itu union tidak buat apa-apa dan tak boleh buat apa-apa. Union ni lebih kepada syok sendiri saja.

Pemimpin itu terus mengukuhkan hujah dengan mengambil contoh: pengarah dah boleh jadi JUSA, Guru Cemerlang dah boleh jadi JUSA, Pengetua dah boleh jadi DG52/54. Ini semua kerana mereka sendiri. Ini semua bukannya union yang beri. Itu semua bukan union yang usaha.

Maka kesimpulan pemimpin guru ni; janganlah percaya dan harapkan union untuk membantu kaum guru sebaliknya guru-guru kena urus diri sendiri untuk mencapai cita-cita mereka khususnya dalam bidang baik pangkat.

Ini isu yang amat mengganggu fikiran saya kerana saya adalah di kalangan pemimpin union yang tak naik pangkat macam pemimpin yang bercakap tuh. Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin itu sebenarnya tak perlu saya endahkan biarkan ia berlalu bersama angin lalu. Tetapi keraan kenyataan itu keluar dari mulut seorang pemimpin guru maka ia sudah pasti banyak implikasinya.

Pertama kenyataan itu menunjukkan dan menggambarkan betapa jahil dan dangkal orang membuat kenyataan tersebut. Dia tak tahu apapun berkait dengan kepentingan dan peranan union. Dia sebenarnya amat jahil dalam bidang union. Jadi kalau kita tak tahu jangan bercakap, lebih baik bercakap dalam bidang yang kita expert sahaja. Nanti orang kata kita ni bodoh sombong. Kalau kita tahu pasal ikan sekila tak payahlah kita bercakap pasal ayam serama sebab kita memang bodoh dalam bidang ayam serama.

Kedua kenyataan pemimpin itu akan melunturkan semangat ingin berpersatuan di kalangan guru. Kata orang kita dengan mudah dapat mematah sebatang lidi tetapi amat sukar kita mematahkan seberkas lidi. Ini kekuatan yang ada jika kita bersatu.

Kenyataan itu juga amat menjatuhkan maruah pemimpin guru itu. Jangan kita ingat semua orang akan bersetuju dengan kenyataan kita kerana masih ramai yang tidak bersama dengan kenyataan kita. Kita kena ingat bahawa setiap pemimpin adalah menjadi fasilitator kepada yang dipimpin.

Maka di sini suka saya nyatakan secara ringkas apa itu union?

Union atau kesatuan sekerja ialah sebuah pertubuhan yang halal. Ia ditubuh di bawah akta buruh negara. Ia sentiasa dipantau oleh Register of Trade Union (RTU) sepanjang masa. Union juga diiktiraf oleh kerajaan kerana ia juga diiktiraf oleh perlembagaan negara. Pengiktirafan inilah yang menyebabkan union telah diterima sebagai rakan strategik kerajaan. Terdapat pelbagai platform yang diwujud oleh kerajaan bagi memudahkan union menyalurkan segala pendapat pekerja.

Ini jauh berbeza dengan segala macam pertubuhan yang ditubuhkan oleh pihak tertentu yang statusnya entah ke mana?

Union ditubuhkan bukan sekadar untuk membela kaum pekerja tetapi dalam masa yang sama union juga berperanan menyelamatkan kerajaan dan negara. Inilah di antara peranan union. Sebab itu kalau tak tahu jangan bercakap nanti orang kata kita bodoh. Lebih baik diam saja.

Lega rasanya bila boleh luahkan sedikit rasa terbuku dengan tohmahan dan kata-kata yang memperkecilkan union.

Secara khusus kita nak tanya pemimpin yang buat kenyataan tuh, berapa kali orang biasa (bukan pemimpin union) boleh berjumpa dan berbincang berkait dengan gaji, elaun, syarat perkhidmatan dan skim perkhidmatan dengan orang kerajaan termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN)? Kalau dapat hadirpun hanyalah sebagai pak pacak di dalam majlis yang besar. Berapa kali orang biasa (bukan pemimpin union) yang ada peluang untuk berbincang dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) malah Perdana Menteri? Tetapi kami di dalam union sentiasa dipanggil oleh pemimpin negara untuk berbincang apa saja isu yang berkait dengan pekerja.

Dan banyak lagi tugas union yang nak saya nyatakan. Tunggu lain kali.

RESPON YB DATO' ROSOL (TELAH TUAKAH UMNO) SIRI 2

Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Selamat kita berjumpa lagi. Sekali lagi NG akan cuba memberi respon kepada tulisan YB Dato' Rosol; Telah Tuakah UMNO?

Angka tidak memberi makna kepada bilangan kerana sebesar manapun angka itu, ia bukanlah indikator menentukan sifat dan jisim sesuatu jika ia tidak disertai dengan prasyarat tertentu. Begitu juga hal terjadi kepada UMNO. Walaupun usia UMNO beratus tahun bukan bererti ia sudah tua, sudah tidak relevan dan hampir mati. Ini ternyata ada manusia yang usia sudah lanjut tetapi masih cergas dan cerdas dan dalam masa yang sama ada manusia yang masih terlalu muda tetapi hidupnya sudah tidak relevan dengan alam sekeliling kerana mungkin badannya telah sakit menunggu saat kematian.

UMNO bukan tua dan bukan tidak relevan malah ia tetap utuh dan relevan walau seribu tahun lagi. UMNO tidak akan dimakan usia apatah lagi tua kerana "life begin at 40".

Namun bagi mempastikan UMNO tetap relevan sepanjang zaman ia memerlukan banyak syarat. Pertama sekali UMNO sebagai wadah dan platform perjuangan agama, bangsa dan negara hendaklah suci dan bersih kerana ini merupakan syarat mendapat keberkatan. Kalau kita nak mengadap Tuhan kita disyaratkan berkeadaan suci maka UMNO juga hendaklah sentiasa suci dan bersih. UMNO hendaklah tidak sama sekali dinoda oleh walau setitik pun kekotoran dan kebathilan. Jika ini tidak dapat ditunaikan UMNO akan cepat tua dan akan mati sebelum ajal.

Kedua UMNO hendaklah sentiasa dibugar dan dipupuk dengan segala sifat kejujuran dan keikhlasan. Hanya dengan nawaitu yang tulus dan tidak meletakkan kegala kepentingan diri perjuangan akan tetap menjadi relevan berjuta tahun lagi. UMNO hendaklah hindarkan diri dari sifat mementingkan diri, mementingkan puak dan suku sakat, membenci sesama sendiri dan yang lebih buruk sanggup membunuh rakan sejemaah. Maka kalau UMNO ingin kekal sepanjang zaman, pupuklah semangat ukhuwah dan hiduplah dalam semangat mawaddah sentiasa sambil itu letakkan perjuangan dan prinsip asal penubuhan UMNO mengatasi segalanya. Jangan sekali-kali meletakkan agenda personal bagi mengatasi prinsip perjuangan, kelak bukan saja diri pemimpin UMNO yang binasa tetapi lebih malang UMNO akan hancur dan mungkin akan mati dalam keadaan yang paling aib.

Ketiga UMNO hendaklah dielakkan daripada serangan penyakit dan segala macam virus yang sangat bahaya. Untuk itu UMNO hendaklah sentiasa mengamalkan pemakanan kesihatan yang dinasihat oleh para pakar. Ini untuk mengelak daripada terkena pelbagai jenis penyakit yang merbahaya yang boleh menyebabkan mati mengejut. UMNO juga kena amalkan memakan vitamin yang sesuai dengan usia dan kerelevanan UMNO itu sendiri. Janganlah asyik dengan makanan tradisi dan dok sombong dengan kesihatan yang penuh dengan kepura-puraan yang akhirnya UMNO akan diserang penyakit yang tidak boleh diubat lagi. Dengan kata lain UMNO MESTI sentiasa update dengan zaman dan sentiasa peka dengan segala perubahan yang berlaku. UMNO tidak boleh sekali-kali dok sombong dan mendabik dada dengan rekod lama kerana semua itu sudah tidak relevan dengan dunia masa kini. UMNO tidak lagi boleh berfikir seperti seribu tahun lalu. Dunia sekarang sudah berubah, masa dan berita bergerak terlalu pantas; jika UMNO tidak boleh sesuaikan diri dengan perubahan yang deras ini UMNO akan tertinggal dan mereka yang cepat catch up sudah tentu akan mengambil alih tempat UMNO.

UMNO juga mesti mengamalkan menggunakan penawar yang boleh meningkatkan daya imunisasi. Jika daya imunisasi UMNO lemah mudahlah diserang penyakit seperti orang yang mengidap AIDS hanya dengan selsema pun ia boleh mati. Dan ini tidak mustahil terjadi kepada UMNO. Sebab itulah UMNO tidak ada pilihan lain selain dari mencari apa saja jenis penawar asalkan daya imunisasinya teguh dan kuat. Mudahnya, UMNO hendaklah diperkuatkan dengan keimanan yang sejati. Hanya Agama Islam yang dapat membina sebuah perisai yang maha kuat. Hanya keimanan yang tulin yang dapat memelihara UMNO dari sebarang dosa dan noda. Hanya ketaqwaan yang dapat mengelakkan UMNO dari terjebak dengan segala kemungkaran. Jika UMNO boleh berdiri atas nama Allah semua orang percaya Allah akan memberkatinya.

Selain itu UMNO juga hendaklah dibajai dengan apa saja jenis ubat yang akan menjauhkan dirinya dari sebarang jenis penyakit jahat. UMNO mesti mencari bomoh atau pawang yang tersohor bagi mendapatkan ubat-ubatan yang boleh mengelak dari penyakit riak dan takabur. Semangat mengumpul daki dunia untuk dimegah-megahkan, semangat mengayakan rakan taulan dan suku sakat serta melakukan apa jua kerja yang boleh ditafsirkan sebagai tamak haloba hendaklah dihapuskan sama sekali. UMNO bukanlah ditubuhkan untuk mengayakan segolongan manusia sebaliknya UMNO ditubuhkan adalah untuk menegakkan keadilan dan kesamarataan. Selama ini UMNO telah dijadikan sebagai instrumen yang paling berkesan untuk mengaut segala jenis kekayaan. Nah cuba kita cari dan lihat mana ada pemimpin UMNO yang hidupnya papa kedana kerana berjuang di dalam UMNO? Sebaliknya terdapat banyak cerita manusia yang asalnya melarat dan hutangnya keliling pinggang tetapi apabila terlantik sebagai pemimpin UMNO dalam sekelip mata ia menjadi lebih daripada orang kaya. UMNO sudah menjadi kuda tunggangan untuk ke destinasi kekayaan. Dengan kata lain tiada lagi keikhlasan perjuangan di dalam UMNO. Amalan hidden agenda amat ketara di dalam UMNO. Maka wahai UMNO sedarlah diri bahawa sebenarnya kamu sudah terkena penyakit yang sangat berat dan cari ubat segera untuk memulihkan penyakit tersebut.

UMNO juga hendaklah kembali ke pangkal jalan. Ingatlah walaupun UMNO ditubuh di istana tetapi ia tertegak di ata setiap kepala rakyat jelata. UMNO bukan sebuah organisasi elit atau ekslusif yang hanya dimiliki golongan bangsawan sahaja. Sebaliknya UMNO hendaklah dikembalikan kepada rakyat. UMNO mesti merakyatkan dirinya. Jangan hanya hampir dengan pilihanraya UMNO terhegeh-hegeh datang kepada rakyat. Rakyat sudah muak dengan sikap kepura-pura dan hipokrit. Mereka inginkan keikhlasan pemimpin yang mereka pilih. Jika pemimpin yang dilip tidak mencapai KPI mereka maka mereka akan tukar dengan pemimpin yang lain. UMNO hendaklah sentiasa berkongsi segala wawasan dan perjuangan mereka dengan rakyat jelata. Rakyat sekarang jauh berbeda denga zaman pasca merdeka. Mereka mahun UMNO menjadi sebuah organisasi yang telus dan transparen. Mereka amat tidak suka ditipu dengan pelbagai isu. Rakyat sekarang sudah celik segalanya, sebab itu UMNO jangan mengasingkan dirinya sebaliknya UMNO mesti sentiasa mendampingi rakyat. Dengan kata lain UMNO mesti mengamalkan konsep sharing and caring kalau ingin relevan sepanjang zaman.

Akhirnya seluruh rakyat Malaysia meminta supaya UMNO pergilah berjumpa dengan seorang Doktor Pakar. Dapatkan nasihat dan ubat darinya. Jika sudah tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut buatlah pembendahan dan jika doktor menasihati supaya sebahagian anggota UMNO dipotong ikutlah nasihat doktor kerana dengan memotong sebahagian anggota yang sakit itu insya Allah seluruh badan UMNO akan sihat wal afiat.

Wallahualam.

Monday, October 5, 2009

RESPON YB DATO' ROSOL (UMNO OH UMNO) SIRI 1

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Salam 1Malaysia.

Sudah banyak kali saya membaca tulisan sahabat saya YB Dato' Rosol. Dan beberapa kali saya telah memberi komen tetapi besekali tak tubek dalam blog dia. Mungkin YB tak setuju dengan pendapat bukan orang politik seperti saya. Dan hari ni saya nekad nak menulis di blog Nyiurgading untuk respon beberapa tulisan sahabat saya tu. Saya harap tulisan ni tidak disalaherti "cangkul tanah orang".

Sebenarnya semua orang amat berminat dengan politik sejak dulu, kini dan selamanya. Ini terbukti dengan jelas banyak meja persidangan politik di warong kopi, bangsal cangkong malah di hotel-hotel 5star dihuni setiap saat dan hari oleh ramai penghuni yang berdebat tentang politik. Ini membuktikan semua orang memang berminat dengan politik termasuk diri saya walupun saya bukan orang politik tetapi saya adalah pemerhati politik. Sepanjang ini saya ada juga memerhati dan mengikuti perkembangan politik tanah air sama ada dipaksa sewaktu belajar dahulu atau berminat dengan senario politik kerana banyak isu yang berlaku di tanah air yang sudah tentu akan merubah lanskap negara kita.

Untuk kali ini saya amat tertarik dengan tulisan Sdr YB Rosol berkait kejatuhan LDP Jepun. Sebenarnya apa yang berlaku di dalam arena politik internasional merupakan suatu cerminan manusia yang menghuni dunia itu sendiri. Ibarat kata manusia seluruhnya akan ikut berubah bersama dengan suasana dan iklim dunia itu sendiri. Di Great Britain, Amerika Syarikat, German, Turki, India dan banyak lagi negara lain kita dapati parti pemerintah telah jatuh di dalam pertarungan demokrasi. Padahal jika kita lihat parti-parti yang memerintah ni telah begitu banyak melaksanakan pembangunan di negara masing-masing. Apatah lagi mereka telah diberi peluang memerintah dalam tempoh yang agak lama. Dengan kata mudah kerajaan yang membuat begitu banyak pembangunan dan telah memberi pelbagai subsidi kepada rakyat (pengundi) tidak dijamin akan tongkat langit. Silap haribulan lama manapun memerintah ada sedikit saja kesilapan parti tersebut akan jatuh jua. Bagaimana pula dengan UMNO/Barisan Nasional di tanah air kita? Adakah kita optimis dan yakin UMNO/Barisan Nasional akan kekal dalam pertempuran PRU13 nanti? Ini semua menjadi buah mulut ramai peminat politik tanah air. Kita kena rasional di dalam membuat jangkaan dan ramalan; kerana jika kita tanya Pakatan Rakyat(?) sudah pasti mereka yakin mereka akan mengambi alih Parlimen Malaysia dalam PRU13 nanti dan kalau tanya UMNO/BN sudah pasti mereka dengan gah berkata perti mereka sudah ada track rekod yang cemerlang sebab itu mereka sudah memerintah sekian lama; kenapa nak dipersoal lagi wibawa mereka? Inilah yang dikatakan senario politik. Semua pihak bertegas bahawa mereka berada di pihak yang akan menang.

Namun hakikatnya kita sebagai bukan orang politik ini melihat perkembangan mutakhir ini dengan bersandarkan cerita-cerita di luar negara, keputusan PRU12 dan dalam banyak pilihanraya kecil nasib UMNO/BN nampak tak secerah bulan. Kita bukan penentang UMNO/BN atau penyokong PR. Ini hanyalah hipotisis orang yang berada jauh dari kancah permainan parti-parti politik. Kita hanya mendapat sumber maklumat berkait senario politik tanah air hanyalah dari suara dan keluhan orang kampung yang amat terpalit dengan permainan dan sepak terajang orang-orang politik. Merekalah sebenarnya yang menjadi penyokong dan pendokong kuat sesebuah parti politik bukannya pemain-pemain politik yang gah ke sana ke mari dengan serba kemewahan.

Berbalik kepada masa depan UMNO/BN seperti yang diulas YB Rosol di dalam blognya, saya amat bersetuju sekali. Jika LDP Jepun yang telah membina sebuah negara gunung berapi tu menjadi sebuah negara yang amat maju dalam serba hal pun boleh tersungkur apakah UMNO/BN di Malaysia boleh menjamin masa depannya jika segala kebobrokan (jika benar) politik yang tersebar itu masih berterusan.

Saya juga ingin menambahkukuhkan tuduhan pelbagai pihak terhadap UMNO/BN. Pada pendapat saya jika UMNO/BN masih belum berpaya membuang dan mengikis habis-habisan perangai buruk ramai pemimpinnya sudah tentu UMNO/BN akan mempunyai masa depan yang gelap walaupun ia telah dibatuasaskan oleh ramai pemimpin dahulu dengan tonggak keikhlasan dan kejujuran.

Bagi kita UMNO/BN memang dah kena virus yang yang belum ada vaksinnya. Ramai pemimpinnya yang terkena virus sombong, angkuh, indivualistik, materialistik dan pelbagai virus lagi. Selain itu pelbagai budaya buruk banyak diamalkan oleh ramai pemimpinnya. Budaya cah keting, budaya pilih kasih, budaya cantas dan pancung kawan memang menjadi amalan mereka. Begitu juga budaya berpuak dan asabiyah menjadi pakaian seharian mereka. Maka jika UMNO/BN mahu memenangi hati rakyat sekali lagi, semua virus ni hendaklah dibuang dengan apa cara sekalipun. UMNO/BN hendaklah mencari anti biotik yang paling berkesan untuk disuntik bagi membunuh semua virus yang sudah mendarah daging itu.

Selain itu UMNO/BN wajib bermuhasabah sejujur-jujurnya. Lihat apa sahaja titik hitam yang ada padanya, sambil itu jangan sekali-kali dok sibuk nak bangga dengan apa yang pernah dibuat, itu namanya tak ikhlas. UMNO/BN jangan sekali-kali mengamalkan budaya lampu suluh; dok asyik suluh ke depan saja, tak pernah sekalipun menyuluh diri sendiri. Sekali ini UMNO/BN ambil lampu suluh dan suluh diri kita sendiri hingga ke segap celah dan lubang. Tengok kok ada panau, kurap, ketuat atau ketumbuhan yang tak boleh diubat lagi. Sedarlah dengan penyakit yang kita tanggung dan kalau doktor kata kita ada penyakit janganlah marah sebalinya mintalah ubat dan penawar untuk berubat. Dan kalau tak boleh berubat potong sahaja... itu kata doktor.

Wednesday, September 23, 2009

KALUNG SELIPAR

Salam Blogger.. Salam 1Malaysia

Selamat Hari Raya Idil Fitri

Hari ini saya amat tergerak hati dan nurani untuk sama-sama memberi pendapat berkait satu insiden (kalau boleh diistilahkan) yang terjadi di dalam konvensyen MIC baru-baru ini. Seluruh rakyat Malaysia terkejut dan terkedu dengan sebuah suara yang meminta dijadikan seutas kalung selipar untuk dianugerahkan kepada Yg Bhg Tun Dr Mahadhir, mantan Perdana Menteri Malaysia (imposible prime minister). Kata empunya cerita, Presiden MIC Dato' Seri Samy Velu terus mengarahkan perwakilan tersebut supaya duduk dan berhenti berucap (entah itupun sebuah sandiwara). Maka perwakilan itupun duduklah. Entah apa respon dan tindak balas seluruh warga dewan kepada perwakilan tersebut selepas dia duduk kita tidak tahu kerana kita tidak berada di situ kerana sampai sekarang kita tidak tahu apa tindakan yang telah dikenakan kepada perwakilan tersebut. Walau bagaimana pun biarlah MIC sendiri yang uruskan rumahtangga mereka, kita tak perlu susah payah berfikir untuk mereka. Kita takut nanti tak cukup selipar di kedai kerana nak buat kalung untuk kita.

Apa yang nak saya perkatakan di sini ialah natijah dari insiden tersebut. Sebagai manusia yang waras dan sampai akal kita janganlah kaget dan gundah gulana dengan kejadian itu. Apatah lagi sebagai orang yang menganut agama Islam yang suci kita jangan sekali-kali mudah melenting atau melatah dengan apa isu sekalipun. Kalau nak selamat dan lambat kena stroke kita mesti jadi orang yang penuh sabar seperti Dr Mahathir yang amat tenang dan amat sukar untuk menggelabah. Dengan kata lain kita jangan sekali-kali mudah diprovok oleh mana-mana keadaan sekalipun. Atau dengan kata yang paling mudah ialah janganlah mudah nak menari apabila orang palu gendang; kalau kita jadi orang seperti ini nescaya kita akan mudah letih dan akhirnya kita akan jatuh sendiri sedangkan yang palu gendang ramai dan sudah tentu mereka akan bertepuk tangan. Sebab itu kita mesti sentiasa menjadi orang yang sentiasa waras, rasional, tenang dan praktikal dalam mana-mana keadaan sekalipun. Dan kalau kita hilang sabar sekalipun Islam ada mengajar kita; ambillah wudhuk dan buatlah solat sunat, Insya Allah kita akan menjadi orang yang paling tenang kerana tenang itu amat penting kerana segala keputusan dan tindakan yang dibuat di dalam keadaan tenang dan rasional adalah merupakan sebuah keputusan yang indah dan direstui.

Berbalik kepada peristiwa pokok yang nak saya ulas; apabila hal ini berlaku kita dapati banyak sangat pihak yang telah melenting dengan pelbagai ulasan yang sudah pasti negatif. Pelbagai cadangan tindakan diajukan kepada MIC untuk dikenakan kepada ahlinya itu namun semua itu berlalu seperti angin lalu. Masuk angin keluar asap kerana itu adalah tradisi kita: hangat-hangat tahi ayam. Saya juga banyak membaca blog yang anti isu ini dan mereka telah membuat pelbagai ulasan sama ada yang yang berkait dengan norma atau budaya kita. Saya juga banyak mengikuti pelbagai pendapat dan ada juga yang munasabah. Namun disebabkan isu ini adalah isu besar yang merupakan rentetan kepada terlalu banyak insiden yang berlaku sebelum ini menyebabkan saya juga ingin memberi pendapat kerana saya berpendapat ia amat berkait rapat dengan isu pendidikan kita.

Kalau kita lihat dan renung sejak Yg Bhg Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau telah cuba mengubah sedikit gaya pemerintahan Malaysia ke arah yang sedikit liberal, terbuka dan cuba berkongsi kuasa dengan rakyat. Beliau banyak turun ke bawah dan banyak mendengar suara rakyat. Dengan kata lain, beliau telah banyak membuka peluang kepada rakyat jelata untuk memberi pendapat. Kata orang; jangan takut berkata benar walaupun ia adalah pahit. Maka di kesempatan ini muncullah individu-individu yang entah apa niatnya dengan lantang dan terbuka telah mengkritik kerajaan yang kemudiannya melarat kepada Raja-raja Melayu dan institusi agama. Selama ini terlalu banyak larangan atau taboo di dalam masyarakat kita dan banyak isu yang tidak boleh diperdebatkan secara terbuka tetapi pantang larang itu semua telah beransur lupus kerana kesempatan telah diambil dengan cara yang penuh negatif walaupun niat dan tujuan Pak Lah adalah sangat baik.

Kumpulan penentang ini dengan penuh bijaksana telah mengeksploitasi segala kesilapan masa lampau dengan berani dan berahi. Ini ditambah lagi dengan berkembangnya teknologi sebaran alternatif yang amat berkesan. Penyebaran maklumat menjadi begitu pantas dan terbuka dan sama seklali tidak dapat disekat atau dibendung. Akhirnya pada pilihanraya Mac 2008 Kerajaan Barisan Nasional hampir tersungkur di Malaysia.

Seperti yang saya perkatakan di atas tadi, sebagai seorang yang mukallaf dan cukup akal kita jangan mudah menggelabah. Kita mesti menerima apa sahaja yang dianggap sebagai yang buruk atau musibah itu sebagai taqdir dan ketentuan Ilahi kerana tanpa sedikit keizinanNya semua kejadian di alam maya ini tidak akan berlaku termasuk segala kejadian di nagara kita. Sebab itu kita jangan menyesal kerana jika kita menyesal dan sedih bererti kita telah komplain Tuhan (orang yang komplain Tuhan besar dosanya), maka kita seharusnya sentiasa bersyukur walau dalam apa jua keadaan. BN hilang Kelantan, Kedah, Selangor, P.Pinang dan Perak masih juga kena bersyukur? Jawapannya ya, kerana BN masih lagi jadi pemerintah. Dan dalam masa yang sama BN hendaklah bermuhasabah; lihat semua kelemahan BN lebih dahulu dan utama dan jangan lihat kekuatan lebih dahulu sebab pada pendapat saya dalam mana-mana pertarungan pun pihak yang akan menang adalah pihak yang pandai mengeksploitasi kelemahan lawan. Sebab itulah parti pembangkang mendapat kejayaan kerana mereka pandai mengambil kesempatan, tak sama dengan BN kerana BN asyik dengan pembangunan materialnya (BN tidak sangat melihat modal insan).

BN sebagai parti pemerintah mesti melihat sistem pendidikan yang diamalkan selama ini kerana pendidikan adalah merupakan alat untuk membentuk dan dan melahirkan modal insan yang BN kehendaki. Sistem pendidikanlah yang akan mencorakkan latar feel perangai rakyat sesebuah negara. BN mesti bertanya adakah sistem yang diamalkan selama ini sejajar dengan aspirasi nasional? Adakah sistem pendidikan yang kita amalkan selama ini lebih menjurus menjadikan seluruh rakyat Malaysia adalah rakyat yang berbudi bahasa, mengenang budi dan patuh kepada undang-undang. Adakah sistem pendidikan yang telah berjalan lebih 50 tahun itu telah berjaya menjadikan rakyat Malaysia yang tinggi semangat patriotiknya? Atau adakah sistem yang kita amalkan ini berjaya menghapuskan sikap kurang ajar dan mementingkan diri di kalangan rakyat Malaysia? Ini semua memerlukan satu pendekatan yang luhur, suci, ikhlas dan jujur pada setiap ahli BN.

Maka saya tinggalkan persoalan kepada semua ahli BN untuk melihat dengan sungguh-sungguh jika tidak mahu Mac 2008 berulang lagi. Jika BN masih sayangkan negara (bukan sayagkan suku sakatnya) perbuatlah sesuatu, kerana ia masih belun terlambat.

Saturday, September 19, 2009

SALAM IDILFITRI

Selamat Hari Raya Idilfitri

Setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa dengan menyerah diri sebenar-benarnya kepada Yang Maha Esa tibalah hari untuk kita merayakan kejayaan kita itu. Allah menganjurkan kita supaya menyambut Hari Raya Raya ini dengan penuh tawaddhuk dan penuh keinsafan, bukannya diisi dengan segala macam pesta yang menentang hukum Allah.

Maka di kesempatan ini saya ingin mengicapkan Selamat Hari Raya Idilfitri kepada semua sahabat, rakan taulan, jiran tetangga dan seluruh umat Islam. Saya juga ingin menghulur tangan meminta ampun dan maaf dari semua yang mengenali saya.

Selamat Hari Raya Idil fitri. Maaf Zahir Batin

Sunday, August 30, 2009

MBMMBI

Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya.
Salam 1Malaysia

Dah lama kita tak bersua. Maklumlah kekadang untuk mencatat ni moodnya, kadang rasa teruja nak menulis kadangkala disebabkan pelbagai kekangan yang dihadapi, maka kekangan itu yang telah mengalahkan kita.

Namun hari ini kita telah menang. Dan saya mencuba untuk menjawab dan meleraikan banyak persoalan yang ditimbulkan oleh rakan wartawan di dalam e mail saya berkait langkah KPM untuk Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ramai rakan yang telah bertanyakan saya apa itu MBMMBI? Bagaimana nak dilaksanakan? dan pelbagai persoalan yang mereka timbulkan. Persoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh rakan-rakan guru sendiri.

Apabila mereka ini telah menghubungi saya dengan pelbagai cara untuk menyelesaikan kekusutan mereka, maka saya kira ia rupanya telah menjadi suatu isu besar yang menyebabkan mereka sentiasa berfikir tanpa penghujungnya. Dan akhirnya disebabkan mereka tidak faham maka kita lihat isu pendidikan sudah tidak menjadi bahan kebangsaan yang dibincang dimana-mana. Senyap sunyi.

Maka bagi saya sebagai seorang pendidik turut terpanggil untuk masuk sama berfikir kenapa jadi demikian lakunya. Apa dah jadi dengan pendidikan sekarang? Tidak seperti dua tiga tahun lepas. Cerita pendidikan telah menjadi sangat laris seperti ayam percik di pasar Ramadhan. Apakah semua orang sudah sangat berpuas hati dengan segala langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan atau masyarakat sudah bosan dengan isu pendidikan yang tak berkesudahan atau mungkin ini adalah kerana kebijaksanaan dan kebitaraan KPM sekarang ini. Biarlah Luncai terjun dengan labunya. Biarkan. Namun kita harap kemungkinan yang ketiga itu yang menjadi faktornya.

Cuma di sini saya ambil kesempatan untuk berkongsi sedikit idea saya (mungkin salah) sepanjang saya menjadi pendidik berkait dengan masalah Bahasa Inggeris (BI).

Hari ini kita ingin melihat isu utama yang berkait dengan BI. Isu asas yang dihadapi oleh kita ialah kekurangan guru BI. Masalah kekurangan guru BI telah berlaku sejak belum merdeka lagi terutama di kawasan luar bandar dan ia telah berlarutan hingga kini. Inilah yang menimbulkan banyak persoalan di kalangan kita. Ini belum lagi kita menyemak senarai guru BI yang benar-benar berkelayakan mengajar BI kerana amat kurang guru kita yang mengajar BI lulusan Teaching English as a Second Language (TESL). Sebenarnya guru sedang mengajar BI di sekolah-sekolah terutama di kawasan luar bandar hanyalah di kalangan guru yang telah dilatih untuk mengajar BI dan mereka bunkannya pengkhususan di bidang ini. Namun kita amat berterima kasih kerana mereka rela dan reda mendidik anak-anak kita kerana tanpa kesanggupan mereka kita rasa penguasaan BI di kalangan pelajar sudah tentu akan menjadi .........

Apakah kita khususnya KPM akan terus berpeluk tubuh dan berdiam diri membiarkan isu yang berlarutan ini dibiar begitu sahaja. Sebab itulah KPM telah melancarkan suatu gerakan MBMMBI. Namun yang menjadi persoalan sekarang ialah ramai orang masih tertanya-tanya apa itu MBMMBI. Mereka tidak faham dan tidak tahu langsung apa itu MBMMBI. Mereka mula bimbang dan takut ia juga akan menjadi seperti PPSMI. Maka kita amat berharap biarlah langkah KPM ini dikongsi bersama seluruh warga Malaysia agar mereka faham dan hayatinya. Kita juga berharap MBMMBI ini diwacanakan secara telus dan terbuka agar ia tidak lagi menjadi alat untuk diputarbelitkan oleh mana-mana pihak. Bagi kita untuk memastikan bahtera itu tiba ke destinasinya biarlah seluruh anak kapal atau kelasinya faham, tahu, hayati dan berusaha bersama memastikan bahtera mereka selamat berlabuh di destinasi yang dituju. Jika hanya nakhoda dan orang kiri kanannya sahaja yang tahu dan yang lain menjadi sebagai pak kayuh sahaja ia tidak akan memberi makna apa-apa.

Maka adalah diharapkan KPM janganlah begitu kikir untuk berkongsi MBMMBI dengan seluruh rakyat jelata, kerana kalau tak kenal maka tak cinta dan saya amat percaya kepada kata kunci "sharing" dan ia amat sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri kita; Rakyat Didahulukan. Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada PPSMI, bila tiba di penghujungnya barulah kita kembali kepada rakyat untuk diambil pendapat. Oleh itu kami amatlah berharap KPM gunalah ruang yang ada untuk mendengar pandangan rakyat jelata dan biarlah MBMMBI ini akan menjadi sebuah gagasan baru yang berasaskan konsensus dari rakyat. Jika rakyat sendiri sudah memberi persetujuan dan sokongan nanti ia akan menjadi lebih bermakna yang sudah tentu natijahnya amat besar.

Tuesday, August 11, 2009

BAHASA INGGERIS

Salam blogger dan Salam 1Malaysia,

Hari ini saya rasa amat terpanggil untuk berbincang tentang satu tajuk yang pada suatu ketika dahulu amat laris dibincang oleh pelbagai pihak. Ini adalah kerana masih terlalu ramai hingga sekarang rakan wartawan yang menghubungi saya ingin mendapatkan temuramah dengan saya berkait dengan isu Pengajaran Bahasa Inggeris (PBI) di sekolah-sekolah di Malaysia. Disebabkan saya sudah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar maka saya harap rakan-rakan wartawan dapatlah melihat dan menilai pandangan saya berkait dengan isu PBI di blog ini.

Sebenarnya sejak enam tahun lalu sewaktu Sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilancarkan terlalu ramai ahli masyarakat yang keliru dan ada yang tidak faham langsung objektif PPSMI ini dilaksanakan. Masyarakat hanya tahu dan diberitahu bahawa Bahasa Inggeris (BI) itu penting kerana ia dianggap dan diiktiraf sebagai bahasa ilmu. Pendek kata siapa yang tidak menguasai BI dia akan ketinggalan, maknanya bangsa yang tidak tahu BI maka bangsa itu akan juga ketinggalan. Itulah yang sebahagian besar ahli masyarakat kita diberitahu.

Maka Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pun berusahalah sekeras-kerasnya dengan menggembeling segala daya dan usaha dengan melibatkan segala sumber yang ada bagi mencapai objektif PPSMI. Pelbagai langkah telah diambil dan pelbagai kaedah telah digunakan tanpa jemu siang dan malam. Pemantauan, penilaian, perbincangan dan pelbagai kaedah penambahbaikan telah dibuat oleh KPM sepanjang masa sepanjang enam tahun yang lalu. Namun yang peliknya sekolah-sekolah jenis kebangsaan dibenarkan kekal mengajar Matematik dan Sains di dalam bahasa ibunda. Maka berlakulah duo language di sekolah-sekolah di Malaysia. Ini juga telah mengelirukan rakyat. Sudah tentu yang keliru inilah mudah dipesongkan. Maka terpesonglah mereka ini dengan pelbagai dakyah oleh mereka yang berkepentingan.

Yang menjadi tanda tanya dan yang paling ajaib ialah dari aspek objektifnya. Katanya tujuan PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar tetapi yang menjaadi soal tanya ialah kenapa pula digunakan matematik dan sains sebagai mediumnya? Ini samalah seperti inginkan hasil getah kerana getah harganya mahal tetapi ditanamnya kelapa sawit. Sama juga inginkan buah kelapa yang dipanjatnya pokok petai. Maka kalau petai yang kita mahu maka tanamlah pokok petai jangan tanam pokok lain.

Satu lagi aspek yang kita rasa (entah nak kata apa tak tahu) ialah pemberian elaun khas kepada guru yang mengajar BI/Sains/Matematik (BISP). Semua guru yang mengajar BI/Sains/Matematik telah dibayar sejumlah elaun bulanan sebagai imbuhan. Untuk makluman kita bersama pemberian elaun ini juga telah banyak menimbulkan suasana yang kurang menyenangkan di kalangan guru-guru itu sendiri. Disebabkan elaun BISP itu semangat setiakawan guru telah mula terungkai dan luntur. Yang dapat BISP tersenyum sementara yang tidak dibayar elaun dah mula berkira dari segi kerja. Kalau ada kerja banyak mereka kata berilah pada orang yang ada BISP, kami tak ada elaun, maka kami tak perlu kerja lebih, buatlah yang wajib. Walau ini sikap yang buruk tetapi hakikatnya inilah yang berlaku. Dengan kata lain, sikap dengki berdengki sudah wujud di kalangan guru kesan pemberian BISP.

Dan akhirnya PPSMI telah diumumkan akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012. Sama ada penghapusan ini disebabkan desakan banyak pihak atau kerana memang PPSMI tidak mencapai objektif kita tidak peduli tetapi PPSMI akan berkubur sama seperti pelbagai program yang lain yang pernah kita maklum.

Dengan penghapusan PPSMI ini pelbagai pula program dan rancangan telah diutarakan pleh pihak KPM demi meningkatkan BI. Macam-macam kaedah yang nak digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia untuk meningkatkan BI. Cuma sekarang kita mesti sama-sama berhati-hati kali ini. Janganlah ada lagi program yang akan kita hapuskan pada suatu ketika nanti apabila didapati ia tidak mencapai objektif. Yang paling penting sekarang kita mesti duduk semeja, kita bincang, kita fikir dan kita buat keputusan bersama. Dan yang paling penting ialah ambil pendapat jauhari di dalam bidang pendidikan. Kata orang hanya jauhari yang mengenal manikam. Untuk melaksanakan dasar pendidikan janganlah kita main-main kerana jika terseilap membuat keputusan buruk akibatnya.

Monday, August 10, 2009

SEMANGAT 1MALAYSIA

YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia ke lima telah memulakan tugasnya dengan melontarkan sebuah gagasan besar untuk diamalkan oleh semua yang bergelar pemimpin bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia tidak terabai dan tidak merasa dibiarkan. YAB DS Najib berharap dengan gagasan ini tidak ada lagi seorangpun rakyat yang terpinggir dari segi haknya sebagai rakyat Malaysia. Harapan YAB Perdana Menteri agar gagasan 1Malaysia ini akan difahami dan dihayati yang akhirnya diterjemahkan di dalam semua kerjabuat mereka yang bergelar pemimpin.

Tujuan DSN melancarkan gagasan 1Malaysia ini mungkin beliau terasa bahawa sudah lama rakyat Malaysia tidak dipedulikan oleh para pemimpin Malaysia khhususnya wakil rakyat. Beliau juga mungkin membuat suatu persepsi besar bahawa kekalahan besar parti pemerintah di dalam PRU12 yang lalu adalah besar kemungkinan berpunca daripada sikap rakyat yang sudah bosan dengan sikap wakil rakyat khasnya yang langsung tidak menjalankan tugas untuk melihat kebajikan rakyat sebagai core business mereka. Hasil kealpaan para wakil rakyat yang sudah berlarutan begitu lama itulah maka rakyat telah memberi suatu signal yang amat pahit kepada parti pemerintah. Maka DSN pun telah mengandaikan bahawa bahawa rakyat perlu diambil berat, bahawa rakyat perlu diambil cakna dan bahawa rakyat perlu diutamakan dan didahulukan; maka lahirlah sebuah gagasan yang amat mengutamakan rakyat tanpa batas di dalam semua keputusan kerajaaan di peringkat pusat dan di peringkat pemimpin untuk semua agensi. DSN mengharapkan apabila gagasan 1Malaysia ini dilaksanakan secara bersungguh-sungguh ia akan merobah persepsi rakyat terhadap kerajaan dan makna ini akan diterjemahkan di dalam PRU13 nanti.

Di sini saya tidak akan mengupas berkait isu politik kepartian yang dihadapi oleh mana-mana parti tetapi lebih kepada untuk memberi pandangan tentang gagasan 1Malaysia itu sendiri.

Kita akui sebenar-benarnya bahawa selain beberapa faktor tambahan lain, faktor rakyat sudah muak dengan sikap wakil rakyat yang asyik bermain politik dan mengayakan suku sakatnya dan dalam masa yang sama tidak mempedulikan rakyat adalah menjadi punca utama kekalahan teruk parti pemerintah di dalam PRU12 yang lalu. Soal kekuatan parti pembangkang tidak timbul langsung kerana parti pembangkang sebenarnya mendapat rahmat daripada kelemahan parti kerajaan itu sendiri.

Sebenarnya kemuakan rakyat dengan kerenah pengurusan kerajaan atau dengan kerenah birokrasi yang sengaja diwujudkan dan diada-adakan itu adalah menjadi faktor utama rakyat ingin mengajar kerajaan. Terlalu banyak isu besar yang melibatkan kedudukan dan kepentingan rakyat tidak dipedulikan oleh kerajaan (agen mereka). Ini ditambah pula pelbagai isu tempatan yang hampir melapok di merata tempat. Dengan kata lain accumulate dan dragging isues ini akhirnya telah menjadi time bomb kepada kerajaan. Maka pada 8 Mac 2008 rayat telah meletupkan bom tersebut yang telah hampir meruntuhkan Parlimen Malaysia. Sebenarnya kedua-dua jenis isu inilah yang telah menjadi duri kepada kerajaan selama ini.

Berbalik kita kepada gagasan 1Malaysia. Ia telah dilancarkan dengan harapan sempena perlantikan DSN sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke lima. Soalnya sekarang apakah seluruh rakyat khususnya agen-agen kerajaan faham dengan gagasan ini? Kalau mereka faham adakah merekan hayatinya? Dan kalau mereka hayatinya adakah mereka terjemahkannya secara total di dalam kerjabuat mereka seharian? Adakah 1Malaysia ini telah mendarah daging di dalam tugasan harian mereka? Inilah persoalan besar sekarang. Janganlah gagasan ini menjadi sebuah retorik besar yang akhirnya hanya menjadi hiasan billbord sepanjang jalan dan lebuhraya yang langsung tidak memberi makna kepada rakyat. Kita bimbang gagasan ini akhirnya menjadi sebuah mimpi indah seorang pemimpin besar seperti DSN yang kemungkinan akan menjadi bahan lawak pihak-pihak tertentu.

Maka kita menyeru seluruh agen kerajaan termasuklah seluruh wakil rakyat dan semua anggota sektor awam ambillah kesempatan ini untuk berubah. Buatlah sesuatu yang amat baik yang selaras dengan gagasan 1Malaysia ini. Letaklah kepentingan rakyat jelata di saf paling hadapan di dalam semua urusan dan keputusan kita. Jangan sekali-kali abaikan harapan rakyat; jangan jadikan rakyat seperti sebiji bola di padang yang boleh ditendang sesuka hati tak berkesudahan. Berilah perkhidmatan kita seperfect mungkin kerana kita telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk melaksana tugas masing-masing. Selesaikan masalah rakyat seperfect dan secepat mungkin; jangan sekali-kali kita lengahkan tugas dan tanggungjawab kita kerana di sebalik tanggungjawab itu, kita juga diberi sedikit habuan dan ganjaran oleh kerajaan untuk kita melangsaikan kehendak kita dan keluarga kita.

Justeru marilah seluruh wakil rakyat dan anggota sektor awam bermuhasabah diri kita sendiri secara jujur dan ikhlas; adakah selama ini kita telah menjalankan tugas kita seperti yang telah kita akadkan sewaktu kita mula menerima tugas tersebut? Adakah selama ini kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita khusus tanpa rasa prajudis dan pilih kasih? Adakah selama ini kita telah menggunakan seluruh masa dan kemudahan rakyat itu khas untuk berkhidmat kepada rakyat seperti yang pernah diamalkan oleh Sayidina Ali? Adakah kita telah meletakkan kepentingan dan kehendak pelanggan kita mengatasi dari segala keutamaan lain?

Maka jika semua prasyarat di atas telah kita sempurnakan syukur Al Hamdulillah. Namun jika ada sedikit ketirisan dan kebocoran berlaku di dalam kita menjalankan tugas kita selama ini, maka ayuh inilah masanya untuk kita menebus kesilapan dan kembali ke pangkal jalan kerana kita bimbang kita hilang pedoman dan jalan dan akhirnya kita tersesat buat selamanya. Kita bimbang jika sedikit amanah yang diberi kepada kita akan menyebabkan kita disoaltanya di akhirat nanti. Kita bimbang dengan kerana sedikit tanggungjawab yang diberi kepada kita nanti tidak terjawab di depan Rabbul Jalil.

Maka kita berseru kepada semua marilah kita bersama-sama menyahut seruan 1Malaysia ini sebagai suatu batu loncatan untuk kita berubah dari buruk kepada baik dan dari baik kepada yang lebih baik. Kesampingkan segala perbedaan idoelogi dan anutan setiap dari kita; sebaliknya bulatkan tekad, tanamkan azam untuk kita bertugas seperfect mungkin dan tidak sedikitpun akan melengahkan tugas kita. Jika saat ini kita boleh selesaikan tugas itu, janganlah kita tangguh untuk saat yang kedua.

Sebenarnya jika kita ikhlas di dalam perjuangan kita tidak perlukan apa-apa gagasan wa imma 1Malaysia pun tetapi kita berharap dengan adanya gagasan ini kita ambillah kesempatan ini.

Sunday, August 9, 2009

RESPON BUAH FIKIRAN RAKAN-RAKAN

Salam 1Malaysia

Hari ini setelah lebih dua bulan Nyiurgading ni diudarakan maka pelbagai pandangan dan cadangan telah diutarakan oleh rakan-rakan bloger kepada saya agar blog saya ini nampak segar dan bermaya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua rakan yang telah sanggup melayari blog saya dan sanggup berkongsi idea untuk memberi cadangan yang baik dan membina (walaupun ada yang mengutuk kerana blog saya tidak mengumpat orang). Iklhas saya nyatakan di sini saya sentiasa mengambil berat dan maklum tentang cadangan dan pandangan rakan-rakan bloger. Maka hari ini saya akan menjawab dan mengulas segala pandangan tersebut.

Ada rakan-rakan yang memberi pandangan supaya saya segarkan blog saya dengan tulisan yang lebih kritis kerana mengikut kefahaman rakan-rakan bahawa Nyiurgading terlalu hambar dan mendatar dan kadangkala "playsafe". Memang saya akui kebenaran kenyataan tersebut. Nyiurgading memang mempunyai tulisan yang hambar dan mendatar, tidak langsung menyentuh isu sensitif semasa seperti pergeseran di dalam politik masa
kini.

Seperti tulisan saya buat pertama kali lagi saya dah nyatakan bahawa Nyiurgading adalah sebuah blog yang ditulis oleh seorang cikgu atau pendidik yang telah lebih 51 tahun berada di dalam bilik darjah. Maksud saya: saya dah berada di bilik darjah sejak saya berumur 7 tahun hingga sekarang. Dalam tempoh itu saya sudah terlalu masak dengan tendang terajang sistem pendidikan negara kita. Maka dengan usia yang begitu lama amat banyak untuk saya lontarkan di dalam Nyiurgading tetapi masih belum tiba masanya kerana Nyiurgading masih lagi baru dan masih di peringkat intro. Sebab itulah ia masih hambar dan mendatar. Jika kita imbau kembali tulisan saya peringkat mula kita akan nampak banyak tulisan saya berkisarkan batang tubuh guru itu sendiri dan masih belum saya sentuh sistem pendidikan itu sendiri kerana percaya apabila kita buat kerja kita mesti lakukan secara tertib. Kita tidak boleh ambil jalan pintas atau pakai tebuk-tebuk nescaya ia tidak akan berkesan (efektif). Bagi Nyiurgading, urusan kenal itu penting kerana tak kenal maka tak cinta. Dengan kata lain jika kita menyelusuri asal-usul dan rootnya maka pada suatu hari nanti apabila kita sudah jauh dalam perjalanan kita akan hilang identiti sendiri dan kita akan menjadi manusia yang sesat dan lupa segalanya. Inilah yang banyak terjadi sekarang kepada rakyat negara kita Malaysia Yang Tercinta kerana tegak bangsa maka akan tegaklah pertiwi.

Maka hari ini saya akan mengambil sedikit kesempatan untuk memberi makna ungkapan Nyiurgading di atas tadi. Mari bersama kita renung; kenapakah rakyat Malaysia yang darahnya tumpah di sini dan tempat bermain di sini sanggup derhaka kepada negaranya sendiri dan sanggup melihat negara ini hancur demi melihat cita-citanya tercapai? Inilah bahan yang akan saya sentuh dalam tulisan saya akan datang apabila tiba masa. Dan masanya akan tiba setelah saya memperkenalkan siapa sebenarnya kita. Sebelum kita mengkategori rakyat Malaysia dan kemudian meletakkan nilai terhadapnya kita seharusnya kita benar-benar mengenali mereka dulu. Amat tidak adil jika kita hanya tahu menilai dan melebel atau menghukum seseorang tanpa usul periksa. Sepatutnya sebelum kita menghukum atau melebel seseorang kita mestilah benar-benar kenal dia serta apakah asal usul orang itu.

Baiklah saya akan teruskan tulisan ini di dalam episod yang akan datang.