Monday, November 30, 2009

UMNO OH UMNO



Salam 1Malaysia.

NG amat tertarik dengan komen yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri Malaysia di dalam blognya "Che Det" berkait dengan UMNO. Tahniah kepada Yg Amat Bhg Tun kerana begitu ikhlas dan jujur memperkatakan berkenaan kedudukan UMNO dari sudut pandangannya. Memang kenyataan ini adalah pahit untuk orang biasa perkata; tetapi disebabkan yang berkata itu Tun Mahadhir maka ia tidaklah menjadi luar biasa. Ini kerana seluruh dunia sudah kenal dan sudah tahu betapa telus dan kritisnya Tun Mahadhir. Untuk orang biasa, perkara yang disebutkan oleh Tun Mahadhir itu amat terlarang dan sememangnya taboo.

Sekali lagi tahniah dan syabas kepada Yg Amat Bhg Tun kerana memulakan cetusan ini yang mungkin akan mendapat reaksi dan respon banyak pihak. NG percaya bahawa niat Tun adalah untuk memberi kesedaran kepada semua orang bahawa sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO untuk berubah dengan sejujurnya kalau ingin mengekalkan legasi UMNO itu sendiri kerana zaman beretorik sudah lama berlalu. UMNO harus menerima hakikat bahawa sekarang adalah zaman berbuat sesuatu yang telus, bersih, nampak bersih dan sangat bersih. Zaman hipokrit dan berpura-pura sudah tak laku. UMNO wajib mengakui zaman menghulur tongkat (subsidi) sudah tak makan umpan lagi. Rakyat sekarang sudah muak dengan seni lakon dan sandiwara para pemimpin UMNO. Mereka sudah jemu dan muak dengan keegoan dan kesombongan pemimpin yang hanya datang bertemu mereka empat tahun sekali. Sebenarnya UMNO sudah terkena perangkap mereka sendiri.

Maka hari ini NG juga ingin berkongsi sedikit pendapat beberapa orang rakan yang selalu bermuzakarah dengan dengan NG berkait dengan politik tanah air.

Memang diakui ada usaha untuk menyingkir dan menyekat orang Melayu daripada menjadi ahli UMNO. Di peringkat kampung atau di peringkat cawangan UMNO memang berlaku usaha penyaringan permohonan untuk menjadi ahli UMNO. Ramai rakan NG yang kebetulan ada sedikit kelulusan dari segi akademiknya tidak mendapat restu dari cawangan UMNO, lalu permohonan mereka untuk menjadi ahli dan penyokong UMNO gagal. Borang permohonan keahlian UMNO yang dihantar melalui Cawangan UMNO entah ke mana hilang dan mereka ini menunggu jawapan kelulusan untuk menjadi ahli UMNO bak menunggu buah yang tak akan gugur kerana mengikut rakan NG bahawa dia sudah menunggu kelulusan untuk menjadi ahli UMNO sudah lebih dari 25 tahun.

Dan akhirnya mereka yang ramai terdiri dari ahli profesional ini telah berpaling kepada parti PAS. Ramai rakan-rakan NG sekarang menjadi penyokong kuat PAS kerana PAS amat mengalu-alukan meraka sebaliknya UMNO telah mencipta birokrasinya tersendiri.

Sebab itulah ramailah mereka ini menjadi pembantu kepada PAS di dalam bidang kepakaran masing-masing. Untuk makluman apabila NG bertanya kepada mereka kenapa mereka bersama dengan PAS; mereka dengan jelas mengatakan bahawa UMNO memang tidak akan menerima mereka kerana mereka ini dianggap pengacau kerana mereka ini lebih cerdik dan pandai daripada pemimpin yang sedia ada. Kata mereka lagi orang cerdik tidak boleh berada di dalam UMNO. UMNO hanya menerima orang yang walaupun tidak cerdik tetapi pandai menjadi pembelit. Maka kata mereka jika UMNO menolak mereka kenapa kepakaran dan kemahiran yang ada itu mereka bazirkan sedangkan PAS memerlukannya.

Isu memilih bakal penyokong juga menjadi pokok percaturan para pemimpin UMNO. Inilah yang menyebabkan mereka sangat berhati-hati untuk menyokong dan memberi laluan kepada pemohon yang ingin meneyrtai UMNO. Kepada para pemimpin ini mereka wajib bersedia dengan ahli-ahli yang bakal menyokong mereka pada setiap musim pertandingan. Inilah yang menyebabkan mereka rela cawangannya tidak bertambah bilangan ahlinya asalkan yang ada itu adalah terdiri daripada suku sakat yang pasti akan menyokongnya yang tentu akan mempastikan kelangsungan kepimpinan tidak berpindah tangan.

Kenapakah ini terjadi? Ini semua kerana di sinilah punca segalanya. Dengan menjadi pemimpin UMNO (tidak kira peringkat mana) adalah menjadi janji bahawa di situ akan lahir mereka yang kaya, berada, mewah dan berperestij. Ini kerana menjadi pemimpin UMNO bererti mereka sudah mempunyai sebuah lampu ajaib. Niat saja pasti mereka akan dapat apa sahaja. Sebab itulah pemimpin ini sanggup buat apa sahaja asalkan mereka boleh menjadi pemimpin yang sudah tentu akan mengkayakan diri sendiri dan semua penyokongnya.

Seperti yang pernah NG tulis dalam posting yang lalu: "amat sukar kita mencari bekas atau pemimpin UMNO yang papa kedana melainkan mungkin adalah seperti antah di dalam beras".

Natijahnya, UMNO semakin tidak popular di kalangan umat Melayu. Setiap kali ada pilihan raya kita lihat pemimpin UMNO terpaksa bersengkang mata dan bekerja hingga peluh melilih ke keting turun padang berkempen demi membujuk rakyat menyokong UMNO (BN). Tetapi hakikatnya UMNO(BN) tetap ditolak kecuali di Bukit Selambau.

Maka sudah sampai masanya semua ahli UMNO khususnya para pemimpin UMNO "sedarlah diri" dan cermin-cerminlah diri adakah mereka itu layak berada di situ demi kelangsungan UMNO itu sendiri. Adakah mereka ikhlas di dalam perjuangan; atau mereka sanggup bergolok bergadai mendapatkan jawatan itu kerana perjuangan peribadi? Semua pemimpin UMNO sewajibnya bermuhasabah diri, lihat dari rambut sampai ke kaki dan cuba semak HATI itu sendiri, adakah ia bersih atau tidak? Jangan sampai kita tersungkur dengan keadaan yang amat hina di bumi sendiri kerana kekotoran hati kita.

UMNO tidak mempunyai masa yang banyak untuk membeli hati rakyat terutama orang Melayu. Orang Melayu sekarang bukan orang Melayu tahun 60han. Walaupun mereka ada yang buta huruf tetapi anak cucu mereka sudah kenal huruf bahkan ramai anak cucu mereka yang sudah menjadi ahli profesional. Anak cucu mereka sudah kenal yang mana intan dan yang mana kaca. Anak cucu mereka sudah menjadi cermin hikmat kepada mereka. Mereka lebih percayakan cakap anak cucu mereka. Anak cucu mereka jauh lebih dekat dengan mereka kalau nak banding dengan pemimpin UMNO yang hanya datang empat tahun sekali.

UMNO sudah tidak lagi boleh bercakap soal pembangunan semata-mata kerana (Melayu) sudah mempunyai mata hati. Dan orang Melayu sudah tidak lagi perlu tongkat lagi sekarang kerana anak cucu mereka sudah menjadi tongkat mereka tetapi sekarang orang Melayu ingin melihat "Pemimpin Yang Jujur, Bersih, Berpegang Kepada Prinsip Perjuangan dan Bikin Serupa Cakap". Orang Melayu muak dengan pemimpin yang bermegah dengan kekayaan hasil dari menjadi pemimpin UMNO.

Saturday, November 28, 2009

CIKGU OH GURU

Salam Blogger. Selamat Pagi Cikgu

Syukur kerana hari ini tercapai hajat NG untuk meluahkan sedikit pandangan dan cadangan kepada semua orang terutama pihak yang berkuasa.

Hari ini kita akan menyingkap kembali beberapa peristiwa sedih dan agak tragis yang berlaku kepada kaum guru di Malaysia.

Walaupun tugas utama seorang guru ialah di sekolah; tetapi banyak masanya berada di luar bilik darjah malah melangkau jauh dari sekolah atau bilik darjah. Malah ada yang terpaksa keluar dari daerah atau negeri tempat bertugas. Namun semua guru sentiasa bersedia melakukan apa saja tugas di luar bilik darjah. Mereka sentiasa bersedia demi tugas dan demi mempastikan anak didik mereka sentiasa mendapat perhatian dan didikan yang terbaik.

Namun apakah seluruh ahli masyarakat di Malaysia sedar dan faham akan risiko yang dihadapi oleh seorang manusia yang bergelar guru. Seperti mana yang kita tahu risiko tetap ada di mana-mana. Ia tidak memilih apa profesion sekalipun. Risiko tetap menghambat seorang guru walaupun tugas asasi seorang guru adalah di dalam bilik darjah. Umpamanya kemalangan yang mungkin berlaku kepada anak didiknya di dalam pagar sekolah atau berlaku di luar pagar sekolah. Semua kemungkinan ini sentiasa meresahkan hati seorang guru sebab sepanjang hidupnya mereka kena berurusan dengan manusia tidak seperti mereka yang mengurus sebuah kilang. Maka guru kenalah sentiasa berwaspada dan berhati-hati setiap masa; silap haribulan bukan hanya nyawanya yang melayang tetapi surat sapina dari mahkamah yang akan tiba di tangan.

Inilah senario yang harus semua ahli masyarakat fikirkan dan sama-sama mencari jalan yang baik.

Di Kota Tinggi, Johor pernah terjadi dua orang guru maut bersama anak-anak muridnya di dalam kemalangan jalan raya. Di Gunung Ledang, Johor seorang guru maut sewaktu mengikuti ekspedisi pelajarnya di sana. Dan baru lagi tiga murid mati lemas apabila jambatan gantung yang mereka lalui runtuh. Sekarang apa yang dilakukan oleh seluruh masyarakat Malaysia bagi meringankan sedikit beban psikologi yang ditanggung oleh guru kita. Seperti kenyataan yang menjadi tradisi; apapbila ada murid yang berjaya sama ada di bidang akademik atau kokurikulum maka ibubapa atau keluarga yang melakukan segala-galanya tetapi apabila berlaku kegagalan atau musibah maka guru akan tanggung segalanya. Inilah hakikat yang sedang dan akan dilalui oleh seorang guru.

Maka marilah seluruh warga guru dan yang mereka yang mengurus guru untuk berfikir setidak-tidaknya untuk mengurangkan sedikit kemungkinan risiko yang berlaku. Janganlah cerita sedih ini akan tetap berulang sampai bila-bila. Pihak guru yang sentiasa akan akur dengan apa sahaja arahan untuk melaksanakan tugas amat berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil inisiatif yang bersungguh untuk mengurangkan sedikit risiko yang dihadapi mereka.

Seperti yang kita sedia maklum, risiko akan berlipatganda apabila ada kegiatan di luar sekolah atau di luar kawasan sekolah yang melibatkan pergerakan menggunakan kenderaan. Sudah menjadi amalan biasa apabila ada aktiviti atau kegiatan di luar sekolah, maka guru akan diarah untuk menggunakan kenderaan mereka bagi mengangkut pelajarnya ke arena aktiviti. Atas rasa tanggungjawab maka guru dengan rela hati menggunakan kenderaan mereka untuk dijadikan "teksi prebet" untuk mengangkut anak murid kesayanganya.

Timbul persoalan di sini ialah; adakah halal dan sah di sisi undang-undang jalan raya seorang guru menggunakan kenderaannya untuk mengangkut pelajarnya? Walhal kita semua tahu bahawa kereta persendirian yang memiliki perlindungan insuran juga secara persendirian tidak berhak untuk mengangkut orang lain selain penama yang ada di dalam insuran keretanya. Inilah risiko "atas darat" yang terpaksa dihadapi dan mungkin ditanggung oleh guru tersebut jika terjadi sebarang musibah. Inilah yang terjadi kepada guru di Kota Tinggi. Namun ia "agak bernasib baik" kerana ia juga turut maut di dalam kemalanagn tersebut. Kalau guru itu masih hidup kita tidak tahu berapa juta ia akan disaman.

Maka kita harap "risiko kering" yang dihadapi oleh para guru ini dapatlah kita buang sama sekali.

KATA GURU:

DI SETIAP DAERAH TERDAPAT BANYAK BAS ATAU KENDERAAN KEPUNYAAN KPM YANG DITABUR KE BEBERAPA BUAH SEKOLAH YANG TERPILIH. DI SITULAH BAS TERSEBUT DI LETAK. MAKA SEKOLAH YANG YANG MENJADI AMANAH MENJAGA BAS TERSEBUTPUN MEMILIKILAH SEMUA BAS TERSEBUT MACAM HARTA DIA. PADAHAL ITU BUKAN BAS MEREKA, SEBALIKNYA IA ADALAH KEPUNYAAN KPM. MAKA SEKOLAH YANG BERNSIB BAIK INI AKAN MENGGUNAKAN BAS TERSEBUT HANYA UNTUK ANAK MURID MEREKA SAHAJA. BAGI SEKOLAH YANG TIDAK DIAMANAHKAN MENJAGA BAS KPM INI TERPAKSALAH MENERUSKAN RISIKO KERING INI SAMPAI BILA-BILA.

MAKA KATA GURU:

ADALAH LEBIH BAIK SEMUA KENDERAAN KPM INI DILETAKKAN DI PEJABAT PELAJARAN DAERAH MASING-MASING BERSAMA PEMANDU DAN PERUNTUKAN WANG MINYAK DAN PENYELENGGARAAN BAS UNTUK DIGUNAKAN OLEH SEMUA SEKOLAH TERUTAMA SEWAKTU TERDAPAT APA-APA PESTA ANJURAN JPN ATAU PPD. JIKA INI DAPAT DILAKSANAKAN BUKAN BEBAN KEWANGAN YANG DITANGGUNG OLEH SEKOLAH KECIL DAPAT DIRINGANKAN TETAPI KESELAMATAN ANAK-ANAK KITA TURUT TERJAMIN. MAKA CIKGU TIDAK MENGELUH LAGI.

INI LEBIH BERBALOI DAN RISIKO KERING AKAN PADAM BUAT SELAMANYA.

Inilah keluhan ramai rakan-rakan guru.

Friday, November 27, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA


Assalamualaikum. Salam Blogger

Syukur ke hadrat Allah Subhanahuataala kerana hari ini diberiNya masa untuk saya mencatat sesuatu di sini.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Selamat Hari Raya Qurban. Didoakan agar semua umat Islam yang sedang mengerjakan Rukun Islam Kelima di Makkah Tul Mukarramah akan dikurniakan Haji yang Mabrur.

Juga didoakan sempena Hari Raya Qurban ini Allah akan memberi perlindungan dan keberkatan kepada semua kita.

Didoakan juga agar segala kekusutan yang berlaku di negara kita akan langsai dengan mudah dan jaya.

Dan akhirnya marilah kita bersama seluruh rakyat Malaysia agar hati-hati kita dijauhi dari segala perasaan jahat, dengki, khianat, haloba, mementingkan diri dan suku sakat kita.

Kita memohon agar setiap dari kita akan menjadi manusia yang paling jujur dan paling ikhlas. Jauhkanlah hati kita dari dipengaruhi oleh agenda persendirian (personal agenda) di dalam apa jua tugas kita. Ingat bahawa kita diutuskan olehNya adalah untuk mensejahterakan alam. Eloklah kita menjadi manusia yang tulus dan luhur dan jangan sekali-kali menjadi manusia yang suka bermuka-muka (hipokrit) kerana orang yang hipokrit adalah berdosa. Maka jauhkanlah diri kita dari rasa dengki dan iri hati dan sikap ingin menjatuhkan orang lain apatah lagi rakan dan sahabat kita.

Kita juga mohon agar hati dan sanubari kita dipenuhi dengan rasa kasih sayang, mahabbah dan sentiasa berfikiran baik terhadap satu sama lain. Kita juga berharap agar kita semua akan meletakkan kepentingan Agama, Negara dan Bangsa mengatasi segalanya. Amin

Sunday, November 15, 2009

DR MAZA AKAN DIDAKWA


Salam Blogger.

Terima kasih LF kerana banyak membantu NG untuk mendapat maklumat. Mengikut LF Dr Maza akan didakwa pada 18 November 2009 ( ini pun spekulasi ). Namun NG rasa lega kerana teka teki ini hampir berakhir.

Seperti dalam posting yang lepas NG ada menyebut bahawa musim tuduh menuduh dan fitnah memfitnah sudah tidak relevan lagi. Ini kerana semua orang boleh buat pelbagai andaian dan tuduhan. Ini termasuklah kes Dr Maza. Dari seorang pensyarah universiti kemudiannya dilantik sebagai mufti, kemudiannya beliau banyak terlibat dengan pelbagai majlis ilmu tidak kira apa platform sekalipun ( yg istimewanya Dr Maza tidak minta upah ) akhirnya ke balai polis kerana ditangkap sedang bercakap soal agam Islam. Kemudiannya terpaksa menunggu berjam jam untuk disebut kes dan akhirnya Dr Maza dijamin dengan bon JAIS. Sementara menunggu beliau didakwa pelbagai tuduhan dibuat oleh pihak berkuasa; mula dengan mengajar tanpa tauliah, isu sijil palsu kemudiannya dikatakan mengajar fahaman wahabi.

Inilah senario yang amat mengelirukan orang ramai. Terlalu banyak kesalahan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Nampak benar dolak dalihnya. Dan yang paling jelas kurang cerdik ialah pada kebiasaan tuduhan akan dibaca di mahkamah serta merta atau selepas ditahan reman apabila pesalah ditangkap. Tetapi kejadian berlaku terhadap Dr Maza ialah tangkap dulu baru nak siasat. Inilah yang dikatakan "JAIS boleh".

Tangkap baru nak fikir apa salah Dr Maza dan sementara disiasat maka pelbagai tuduhan dilontar terhadap Dr Maza. Maka orang ramaipun keliru; mana satu keslahan Dr Maza yang sebenar? Harapan kita agar pada 18 haribulan ni semuanya akan terjawab.

Natijahnya JAIS mesti bekerja keras bagi memastikan arang tercalit dapat dibersihkan. Sebab itulah NG di dalam posting yang lepas begitu bersungguh mencabar JAIS agar membuktikan segala tuduhan terhadap Dr Maza. NG tidak mahu kokok berderai tetapi tangan berbau tahi. NG juga di dalam posting yang lepas banyak mencabar JAIS segera mendakwa Dr Maza agar JAIS tidak disamakan dengan pertandingan raja lawak sebab rakyat Malaysia sangat berfikiran kritis.

Wednesday, November 4, 2009

ANTARA HUSAM DAN NIK AZIZ


Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Entah apa mimpi yang YAB Dato' Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia dapat atau entah apa petunjuk yang beliau terima kita tak tahu kerana hari ini beliau telah umumkan bahawa Negeri Kelantan juga akan diberi hak untuk menikmati wang hasil minyak mulai tahun 2010 walaupun dari segi undng-undang Kelantan sebenarnya tidak layak.

Telah begitu lama Kerajaan Kelantan menagih wang tersebut tetapi tidak berhasil. Namum berita yang mungkin menggembirakan rakyat Kelantan itu muncul di parlimen hari ini. Sama ada ini adalah sebahagian daripada strategi 1Malaysia atau ini mungkin juga sebahagian daripada strategi DS Najib ingin berbudi dengan rakyat Kelantan agar dapat merampas Kelantan di dalam pilihanraya akan datang kita tidak tahu. Tetapi yang pastinya jika wang ehsan ini hadir di Kelantan sudah tentu banyak perubahan yang akan berlaku di Kelantan.

Namun berita wang ehsan ini sebenarnya sangat tidak menarik jika kita melihat kepada refleksi pemimpin PAS di Kelantan itu sendiri. Yang menariknya ialah respon dua pemimpin Kerajaan Kelantan; pertamanya dari YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS Pusat dan keduanya dari EXCO Kanan Kerajaan Kelantan YB Dato' Husham.

Seperti di dalam posting yang lepas NG ada sebut bahawa kita sebagai bukan orang politik amat sukar memahami sepak terajang politik PAS. Apa tidaknya? Tuan Guru Nik Aziz akan melangsaikan nazarnya untuk berpuasa tiga hari kerana kerajaan pusat meluluskan wang ehsan kepada Kelantan walaupun tidak senang dengan istilah wang ehsan. Namun dalam masa yang sama EXCO Kanan Kerajaan Kelantan yang merupakan ahli Majlis Tertinggi PAS Pusat mentah-mentah menolak sumbangan wang ehsan tersebut dan sebaliknya bercadang untuk membawa isu royalti minyak ini ke mahkamah di Amerika Syarikat. Yang kita rasa pelik dan ajaib ialah dari mana keputusan menolak wang ehsan itu Husam dapat. Adakah keputusan menolak itu telah dibuat di dalam mesyuarat exco Kelantan, atau adakah keputusan menolak itu merupakan pendirian PAS Kelantan setelah dibuat mesyuarat tergemparnya atau adakah kenyataan Husam itu merupakan pendapat nafsu nafsi peribadinya yang langsung tidak mendapat restu MB atau Jawatankuasa PAS Negeri Kelantan. Entahlah YB Husam, kalau terlajak perahu boleh gosetan tapi terlajak kata YB kena cari orang kuat untuk backing YB. Kalau tidak orang akan panggil YB Husam ibarat lebih lajak pada laju.

Sebab itulah NG katakan kita sukar nak faham permainan politik PAS; satu kata terima dan bersyukur dan yang satunya tolak bulat-bulat. Dan yang membuat kenyataan pula jauh beza kategorinya; yang satu Menteri Besar merangkap Mursyidul Am dan yang seorang lagi adalah EXCO dan hanya bertaraf ahli majlis teringgi PAS Pusat. Alahai pening kepala deng - kato orang nogori.

Sebab itu Tuan Guru kata ada orang yang ghot ghat dalam PAS ... alahai

SIJIL DR MAZA PALSU


Salam Blogger. Salam 1Malaysia.

Baru terbongkar hari ini bahawa orang yang bernama Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah penipu. Beliau berjaya menjadi seorang pensyarah, pendakwah yang akhirnya menjawat jawatan yang paling tinggi di dalam bidang agama Islam di dalam sesebuah negeri; iaitu Mufti yang bergelar Sahibul Samahah. Hebat Dr Maza. Drama dan sandiwara penipuannya berjaya mengabui semua pihak termasuk DYM Raja-raja Melayu yang telah bersetuju melantik beliau menjadi Mufti. Begitu juga pihak Rektor dan Senet UIA sendiri terbodoh oleh lakonan Dr Maza sehingga menghantar beliau untuk menyambung pelajaran ke peringkat PHD. Alangkah bodohnya orang lain kecuali seorang pegawai JAIS yang telah mendedahkan status Dr Maza. ( Lihat dalam Utusan Online 3/11 ) yang telah menipu taraf ijazahnya.

NG memandang perkara ini sudah menjadi semakin serius. NG melihat isu ini bukan lagi isu tauliah tetapi sudah menjadi isu penipuan yang paling tinggi standardnya. Hal ini tak boleh dibiarkan berlaku apatah lagi ia melibatkan Agama Islam.

Maka NG mencadangkan JAIS ambillah langkah yang sebaiknya. Jangan dibiarkan perkara ini berlanjutan. Ambillah tindakan yang seberat-beratnya kepada Dr Maza.

Bagi NG dan mungkin rakan-rakan lain amat bersetuju bahawa musim tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah dah berlalu. Kalau anak jantan; keris sudah sama di tangan; gelanggang sudah lama terbentang, ayuh hayun langkah. Tak guna kokok berderai di dalam reban yang akhirnya ekor dan kepala bersalut najis. Kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang berdakwat biar sampai hitam dan alang-alang kita dah melangkah jangan sekali toleh ke belakang. Ayuh JAIS, sinsing lengan dan kaki teruskan perjuangan. Pastikan kemenangan. Jangan sekali-kali mundur kelak orang menggelar kita AYAM BETINA.

Monday, November 2, 2009

DR MAZA AKAN DISIASAT


Salam Blogger. Salam 1Malaysia

Sah Dr Maza tidak didakwa pada hari ini. Dr Maza terpaksa hadir dua kali ke mahkamah atas kebijaksanaan pengurusan JAIS.

Inilah yang NG takut dan bimbang. Dalam posting awal NG minta supaya Dr Maza didakwa dan dibicarakan atas apapun kesalahan yang dilakukan. Jika didapati beliau bersalah ambillah tindakan yang sepatutnya seperti yang disaran oleh undang-undang yang ada.

Tetapi amat malang dan memalukan Dr Maza tidak didakwapun malah pihak JAIS sendiri menjamin Dr Maza. Memang memalukan. Di mana kredibeliti JAIS yang sepatutnya menjalankan tugas mengikut lunas Islam. Apatah lagi yang mengepalai Islam di Selangor ialah PAS.

Mengikut berita yang tersebar lebih dua puluh pegawai JAIS dan mata-mata yang digunakan pada malam tadi. Alangkah membazirnya tenaga, masa dan wang ringgit. Kalau JAIS cerdik dia tak buat kerja ni. Dr Maza hanya seorang. Dia bukan penjenayah atau penjahat bersenjata. Maka tak perlulah gunakan pegawai yang begitu ramai.

Kesimpulannya nampak sangat segelintir pegawai di JAIS ni kurang cerdik. Maka bapa kepala di JAIS tolong lihat ini sebagai sesuatu yang serius. Ambil tindakan yang sewajarnya. Jangan nanti kerana sorang dua ni JAIS khasnya dan Islam amnya dijadikan bahan ketawa. Maka kalau nak ketawa tak payah lagi tengak program raja lawak, pergi saja ke JAIS kita boleh ketawa sampai pecah perut.

Apapun hanya JAIS yang tahu segalanya. Janganlah isu ni dijadikan bahan lawak, maka JAIS pastikan Dr Maza diambil tindakan akhirnya yang pasti akan membersihkan arang di muka.

DR MAZA DITAHAN


Baru semalam kita mendengar Persatuan Peguam Syarie membantah tawaran Dr. Maza sebagai Yg Di Pertua YADIM. Hari ini kita dimaklum pula Dr Maza telah ditahan di sebuah banglo di Ulu Klang.

Ada kawan berkata ini semua tidak ajaib dan tidak pelik sebab Malaysia Boleh. Apa sahaja boleh berlaku di Malaysia kerana Malaysia Boleh. Itu kata dia.

Terfikir juga NG; kenapa Dr Maza ditahan? Mungkin beliau tiada permit (kata orang Terengganu) untuk beri kuliah atau ceramah agama. Kalau begitu di keliling kelalang rumah NG boleh kata setiap malam ada orang berceramah agama (kadangkala politik) tidak ada masalah pun. Pening kita dibuatnya. Ini semua permainan gajah. Gajah sama gajah bergaduh maka semut mati terpijak.

NG pernah kenal Dr Maza. NG pernah beberapa kali bersama Dr Maza di dalam seminar dan forum di IKIM. NG juga pernah menjadi ahli panel bersama beliau di IKIM. Dan NG juga pernah sekali dua bermuzakarah dengan mantan Menteri Besar Perlis (DS Sahidan). NG bukanlah pandai sangatpun dalam bidang agama tapi setakat NG dok bincang dengan Dr Maza ni NG fikir tiada sangat masalah. Cuma mungkin cara pendekatan beliau adalah amat berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh ulama konvensional.

Maka NG harap janganlah tindakan yang diambil ni menjadi bahan ketawa orang ramai. NG harap jika Dr Maza bersalah pastikan beliau dihukum. Dan sila ambil juga tindakan kepada yang semua penceramah yang tidak ada permit.

Sunday, November 1, 2009

ANTARA EGM DAN SEMINAR

Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Maaf kerana lama dah tak menulis di laman ini disebabkan seminggu dua saya agak kesuntukan waktu kerana banyak tugas luar yang terpaksa diuruskan. Namun saya tetap mengikuti perkembangan yang berlaku terutama yang melibatkan politik tanah air.

Baru-baru ni Mursyidul Am PAS YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz cadangkan supaya PAS juga adakan EGM macam MCA bagi membersihkan PAS dari anasir yang tak diperlukan. Mengikut kata, yang dimaksudkan ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Setiausaha Agung PAS Pusat dan Timbalan Presiden PAS Pusat. Ramai yang terkejut dengan kenyataan Nik Aziz kerana yang nak dibuang dari PAS tu bukan calang-calang kedudukannya di dalam PAS. Mereka ni amat tinggi kedudukannya. Tabik spring pada Nik Aziz. Memang Nik Aziz orang yang berani dan telus. Tak suka kata tak suka; jangan hipokrit atau pura-pura. Benci tapi rindu, ini orang dah tak pakai lagi. Kalau benci katakan benci, kalau sayang katakan sayang. Dan sekali lagi syabas Nik Aziz.

Namun yang terfikir kepada kita ialah Nik Aziz sedar atau tidak bahawa ketiga-ketiga anasir yang tak dikehendaki tu telah dipilih dalam muktamar bukan dilantik begitu saja. Mereka ini telah disaring dan diundi oleh ramai perwakilan. Ini bermakna mereka ini telah dipilih oleh majoriti ahli PAS untuk mewakili mereka dan memimpin PAS bagi menegakkan perjuangan PAS. Dengan kata lain ketiga-tiga anasir yang tak dikehendaki ni adalah merupakan suara majoriti ahli PAS.

Senario seterusnya ramai di kalangan kepimpinan PAS tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul PAS itu. Maka bagi mencari jalan tengah Jawatankuasa Tertiggi PAS memutuskan supaya diadakan satu seminar PAS bagi menggantikan EGM. Maka Nik Aziz dalam kenyataannya menyatakan beliau berpuashati dan gumbira dengan keputusan itu.

Walau bagaimanapun, bagi kita yang cetek dengan sepak terajang politik ni tertanya-tanya pula apa status EGM dan apa status seminar? Inilah yang mejadi persoalannya sekarang kerana EGM dan seminar ni amat jauh power dia, macam dunia dengan cakrawala lain. Entahlah. Harap YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz fikir-fikirkan apa objektif EGM dan apaobjektif seminar nanti.