Monday, February 15, 2010

Kuasa Guru Besar / Pengetua ( siri 2)

Salam 1Malaysia dan Salam Persaudaraan.

Sekali lagi kita bertemu untuk sedikit mencambah fikiran kita bersama atas tajuk sejauh mana insentif atau ganjaran yang diberi akan memberi makna dan motivasi kepada yang berusaha.

Semalam NG utarakan isu ini kerana ingin mendapat pandangan dari pelayar blog NG ini. Maka banyaklah e mail yang saya terima. Dari e mail itu banyaklah yang menyokong walaupun ia bukan mewakili 350,000 guru di Malaysia. Ada yang bertanya NG apa yang dilakukan oleh Union Guru sekarang? kerana semua union guru diam saja seolah-olah bersetuju dengan dengan segala langkah yang diambil oleh KPM?

NG tak mahu ulas peranan union guru sebaliknya NG ingin sekali lagi melontar beberapa pendapat yang diutara oleh para sahabat NG.

Setakat ini NG dapat simpulkan bahawa rata-rata guru tidak bersetuju dengan beberapa langkah yang diambil oleh KPM kerana banyak langkah itu tidak memotivasi guru sebaliknya ia akan memberi suatu tekanan yang membazir kepada kaum guru. Ramai guru berpendapat bahawa memberi gabjaran dan insentif adalah salah satu langkah motivasi yang baik tetapi hendaklah betul caranya. Kata mereka ganjaran atau insentif hendaklah dianugerah kepada kumpulan ramai yang melaksana tugas bukan hanya kepada GB dan Pengetua. Kita tidak mahu mereka dianggap sebagai kuli paksa tetapi yang mendapat segala kesenangan dan kebanggan hanya seorang sahaja.

Satu lagi yang diutarakan oleh ramai guru ialah sepatutnya KPM melihat kepada sekolah itu sendiri. Janganlah dilihat kepada GB dan Pengetua sahaja. KPM harus turun padang dengan ikhlas hati; buatlah majlis dialog secara yang paling terbuka dan telus. Dengar segala masalah guru yang akan mereka luahkan. Dengarlah rintihan mereka. KPM jangan sekali-kali prajudis atau buruk sangka dengan keluhan dan ratapan kaum guru dan jika ingin membuat sebarang langkah tolong ambil kira dengan suara ramai bukan yang ada di kiri kanan kita. Kita maklum GB dan Pengetua amat berkuasa di sekolah. Mereka punya segala senjata dan alat untuk mempastikan semua guru akur kepadanya.

KPM seharusnya faham, maklum, tahu dan alim dengan segala masalah yang dihadapi oleh kaum guru. Mereka bukan sekadar perlukan gaji dan elaun tetapi mereka amat memerlukan orang yang boleh mereka luahkan segala isi hatinya. Mereka amat perlukan pendamping yang bersifat terbuka dan ikhlas serta mempunyai sedikit kuasa untuk memberi perlindungan kepada mereka. Sebenarnya guru amat tertekan dengan suasana dan iklim yang ada sekarang apatah lagi apabila GB dan Pengetua ingin bertanding sekarang. Maka wahai KPM turunlah padang dan kenalilah para guru kita dan selamilah seluruh pelusuk sanubari mereka kerana kalau kita kenal maka sudah pasti kita tidak akan membuat pelbagai tuduhan negatif kepada guru. Kata orang tua kalau tak kenal mana mungkin kita jatuh cinta.

Wahai KPM selepas kita kenal mengenal, kita mesrakan hubungan kita bersama. Apabila kita sama maklum dan saling mengerti maka mudahlah kita membuat kerja. Kata orang puteh " sharing and carring ". Jika semangat ini dapat kita terjemahkan di dalam semua kerja buat kita NG kira " no more problem " dalam masyarakat guru di Malaysia.

KPM tolonglah jangan mengambil langkah yang salah kerana akibatnya amat buruk selain kepada institusi sekolah sahaja malah ia akan memberi efek kepada kerajaan juga. Ingatlah bahawa guru adalah manusia dan sudah pasti mereka juga memiliki hati dan perasaan amat sensitif. Jangan sekali usik hati dan snubari mereka dengan perkara yang buruk kerana kita bimbang nanti ada di kalangan yang membuat tindakan yang negatif kepada kerajaan secara diam-diam. (dah adapun sekarang)

KPM tolong mendekati, memahami guru, take care dan cakna dengan hati dan perasaan guru. Tunjuklah bahawa KPM amat simpati dan ingin sentiasa membantu guru. Janganlah KPM hanya melihat kepada GB dan Pengetua sahaja. Kalau dulu ungkapan berbisa "GURU SAYA" dan "TERIMA KASIH CIKGU" begitu meluas disebut tetapi sekarang sudah hilang bersama angin lalu.

Sunday, February 14, 2010

Kuasa Guru Besar / Pengetua ????

Salam 1Malaysia dan Salam Persahabatan

Semalam sewaktu menonton berita TV1 tertulis " Semua Guru Besar atau Pengetua akan diberi insentif jika sekolahnya melakukan lonjakan kejayaan." Dan baru-baru ini apabila KPM melancarkan Program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali lagi Guru Besar atau Pengetuanya akan diberi pelbagai insentif dan ganjaran. Kedua-dua pengumuman ini amat sedap didengar dan ia terlalu lunak dialun.

NG mengucapkan setinggi tahniah kepada KPM kerana berani melaksanakan pelbagai pembaharuan walaupun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) masih belum selesai dan sudah hampir selesai. Kita sedar semua orang sedang menggelabah terutama KPM apabila memikirkan cabaran yang mendatang. Maka pelbagai buah fikiran diutarakan bagi dilaksanakan. Sebab itulah satu demi satu program dilancar di dalam sistem pendidikan kita.

NG bukan nak campur tangan atau sengaja nak ajar itik berenang tetapi sekadar ingin melontar idea, itupu jika ada orang yang ingin berkongsi sama. Adalah menjadi harapan NG agar ramai di antara kita yang terpanggil untuk berbicara tentang sistem pendidikan kita. Kita harus ingat bahawa jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan tamaddun amat bergantung rapat kepada sistem pendidikan itu sendiri. Sistem pendidikan merupakan satu senjata yang paling ampuh untuk mempertahankan jati diri sesuatu bangsa dan sesuatu peradaban.

Nampaknya KPM sekarang sudah mula berkayuh bahtera besarnya. KPM juga dah mula mengorak langkah kononya ingin menuju kejayaan yang berganda. Salah satu strateginya ialah pelaksanaan SBT dan proses mengautonomikan kuasa Guru Besar dan Pengetua. Pelbagai ganjaran dan insentif telah dijanjikan kepada semua GB dan Pengetua yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Ini merupakan suatu arena pertandingan yang maha luas yang telah disediakan oleh KPM. Inilah peluang yang MESTI direbut oleh semua GB dan Pengetua. Dan tidak peliklah mulai sekarang semua GB dan Pengetua sudah berada di garisan permulaan masing-masing dan menunggu pistol ditembak sahaja.

Tetapi cuba kita renung dan fikir; siapakah yang akan melaksanakan semua tugas ini di sekolah? Siapakah yang akan menanggung segala tugas yang sudah pasti beratnya luar biasa sifatnya? Tak perlu dijawab sekarang kerana semua orang tahu. NG rasa pertandingan ini sudah pasti akan sangat membebankan para guru kita yang sememangnya terbeban dari dulu hingga sekarang.

Ramai yang sudah pasti tidak bersetuju dengan pendapat NG; katanya apakah menjalankan tugas mengajar sebagai seorang guru boleh dianggap sebagai beban? Apakah masuk dan keluar keluar kelas untuk membimbing anak murid boleh dianggap sebagai beban? Inilah yang sentiasa bermain di benak kita yang bukan warga guru kerana bagi kita yang bukan guru; tugas guru adalah mengajar anak muridnya menjadi pandai. Maka amat janggal jika ada guru yang merungut kerja mengajar itu sebagai beban.

Untuk pengetahuan kita bersama sepanjang lebih 36 tahun NG berkecimpung sebagai guru tak pernah terdengar rakan guru merungut kerana hanya untuk mengajar malah mereka amat suka melaksanakan tugas tersebut. Sebab mereka tahu itu adalah profesion mereka dan itu adalah amanah yang diberi kepada mereka. Mereka amat bersedia untuk mempastikan anak muridnya berjaya.

Dan untuk pengetahuan kita bersama juga, ramai di kalangan guru mengeluh bukan kerana mereka disuruh mengajar tetapi mereka amat tertekan dengan segala macam tugas yang sebenarnya bukan tugas mereka. Mereka diminta membuat pelbagai tugasan yang amat membuang masa mereka. Dengan kata lain kerana arahan yang luar biasa ini amat menjejaskan tugas asasi mereka di dalam kelas. Maka jika betul-betul ikhlas NG menyeru tolonglah buat satu kajian penggunaan waktu mengajar (P&P) dan segalam macam persediaan dan menyemak kerja murid dengan masa yang diguna untuk kerja-kerja sampingan yang terpaksa guru tanggung.

Maka dengan terlaksananya proram KPM yang baru ini; nescaya ramailah GB dan Pengetua menaruh hajat untuk mencapai segala macam kerja extra ordinary yang akan melonjakkan nama mereka untuk mencapai tahap untuk dianugerahi pelbagai hadiah lumayan. Maka siapa sekali terbeban? GB dan Pengetua tak buat tapi ..... yang buat bagi mempastikan bosnya mendapat anugerah.

Inilah yang dikata: lembu punya susu tapi sapi dapat nama dan kuda yang letih berlari tetapi joki yang naik podium.

Fikir-fikirkanlah wahai para budiman....

Saturday, February 13, 2010


GONG XI FA CHAI

Salam 1Malaysia

Saya dan seluruh keluarga ingin mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum China. Semoga kehadiran Tahun Harimau pada kali ini akan membawa semangat baru yang lebih bersungguh-sungguh untuk kita memupuk rasa kekitaan dan ingin hidup dalam rukun dan damai.

Marilah kita bersama mengikat kata setia seia sekata dalam membadai Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur, harmoni dan sejahtera.

Selamat Tahun Baru China.

Monday, February 8, 2010

Gaji Oh Gaji

Salam Blogger n Salam 1Malaysia

"Polis Terima Gaji Baru" ; itulah salah sebuah tajuk akhbar tempatan sehari dua yang lepas. Kesannya????? Kesannya saya banyak menerima panggilan, e mail dan sms yang bertanya bagaimana polis dapat gaji baru? tetapi guru tak dapat. Maka pelbagai maki seranah yang saya terima. Ada maki, ada yang sumpah seranah dan ada juga yang ugut akan undi parti lawan bila PRU13 nanti.

Inilah lumrah. Ini adat orang kita, Kalau boleh, semua yang ada atas dunia dia mahu milik. Makna kata: kita tak boleh lihat orang lain dapat lebih dari dia. Itulah dunia.

Berbalik kepada cerita GAJI tadi.

Untuk makluman semua pihak ; tajuk akhbar itu hanya gimik sahaja, tak adapun yang diterima oleh para pak polis kita. Kata lain itu hanya cerita yang menyedapkan telinga sahaja. Perkara ini saya bertanya dan mendapat berita daripada Tuan Haji Basharudin sendiri di dalam Mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) Bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Dan untuk makluman juga, En Basharudin adalah orang yang bertanggungjawab ke atas semua jenis gaji sektor awam. Maklumlah dia ni Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun di JPA. Maka semua skim dan syarat perkhidmatan di Malaysia ni dia maklum dan memang itu tanggungjawab dia.

Sebenarnya pak polis bukan dapat gaji baru atau kenaikan gaji. Cuma apa yang kerajaan bagi kepada pak polis ni ialah "kelulusan taraf lantik mereka diubah. Itupun hanya untuk Inspektor ke atas; yang tiga calit dan ke bawah tak dapat apa-apa.

Dengan kata lain, samalah yang dibuat kepada guru berpuluh tahun dulu di mana semua non grad diangkat kepada diploma tidak lagi bertaraf sijil. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan kepada pak polis ni. Kaum guru dah lama dapat tapi polis hanya sekarang dapat dinaikkan kelulusan lantikan mereka kerana Inspektor dulu bertaraf diploma sekarang dan seterusnya ialah ijazah.

Saya harap kita faham dan berterima kasih kepada kerajaan.