Monday, April 25, 2011


Berbaik biarlah berpada

Sinar Harian, 25 April 2011

Keputusan pilihan raya Sarawak sudah terang lagi bersuluh akan trend pengundiannya. Tidak perlu diulas panjang. Jawapannya semua sudah ada. Parti-parti komponen Cina Barisan Nasional (BN) sudah tidak dapat lagi mewakili masyarakat Cina. Majoriti Cina telah nekad memilih parti ultra kiasu sahaja. Parti Cina komponen BN sudah tidak percayai. Dalam kata lain, pilihan mereka hanyalah parti ultra kiasu.

Trend pengundian sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa ataupun baharu muncul dalam politik Malaysia. Undi yang diperolehi oleh parti-parti bukan Melayu dalam BN selama ini, saya berani mengatakan adalah undi orang Melayu dan bumiputera. Ini toleransi yang selalu saya katakan tidak ada tolok bandingnya. Melayu mengundi bukan Melayu, tetapi belum tentu bukan Melayu mengundi Melayu atas semangat 1Malaysia.

Mungkin akan ada yang bertanya, kenapa SUPP masih boleh menang sebelum ini? Jawapannya, ketika itu ultra kiasu masih belum ada contoh untuk diketengahkan atau dibuktikan. Kini, tidak lagi. Mereka telah ‘berjaya’ mendapatkan Pulau Pinang dan Selangor. Bukti telah ada. Pembelaan terhadap bangsa mereka begitu jelas sekali. Hanya orang Melayu yang tidak membela Melayu (Islam). Inilah malangnya nasib Melayu di bumi Melayu.

Politik Cina sama ada Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak tidak banyak bezanya kerana mereka berpegang kepada konsep 1Bangsa yang menjadi rukun politiknya. MCA dan Gerakan tidak perlulah mencuba nasib di Sarawak atau memberi pandangan. Ia hanya akan menyakitkan semua pihak terutama orang Melayu dan bumiputera. Tepuk dada tanya selera, kenapa pengundi mereka turut mengundi ultra kiasu. Carilah jalan dan merangka strategi untuk memenangi hati orang Cina kembali, bukannya menuntut ini dan itu.

Terbaharu, Naib Presiden MCA mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak meletakkan jawatan kerana tidak mendapat sokongan orang Cina. Pada saya, suruhlah atau tegurlah pemimpin mereka dahulu meletak jawatan kerana terlibat dalam skandal seks yang amat memalukan tetapi masih dipilih menjadi pemimpin. Jangan mengata dulang, paku serpih.

Jangkaan terhadap bangsa saya dan cara mereka berpolitik tidak banyak berubah. Mereka amat bijak. Kebijaksanaan inilah yang menjadikan politik Melayu terus berada dalam kerugian, kerana Melayu tidak mahu mengambil pengajaran. Perpecahan tidak ada kesudahan, malah semakin menakutkan, seolah-olah tidak ada penghujung. Apakah akan terjadi pada masa akan datang? Masih belum dapat dipastikan. Tuhan sahaja yang tahu. Yang pasti, trend politik Melayu langsung tidak menguntungkan Islam dan Melayu, kerana mereka kurang berjiwa 1Melayu dan 1Islam.

Pemimpin ultra kiasu begitu bongkak mendakwa parti mereka telah mendapat sokongan berbilang kaum. Saya ingin mencabar parti ini supaya bertanding di kawasan majoriti Melayu atau bumiputera dalam pilihan raya umum akan datang bagi kawasan parlimen, kita lihat siapa mengundi siapa?

Janganlah kerana telah menang beberapa kerusi tambahan, sudah mula perasan bahawa parti mereka mendapat sokongan semua kaum. Kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Kidurong yang mengandungi 27,225 pengundi, mewakili 46.2% Iban, 38.1% Cina, 15.2% Melayu dan lain-lain 1%, dijaja ke sana ke mari sebagai contoh. Majoriti 6930 yang diperolehi didakwa hasil undian semua kaum. Sedangkan kita tahu, ia adalah undi solid orang Cina dan undi protes Iban dan Melanau terhadap ‘Pek Mo’(dalam bahasa hokkien disebut sebagai rambut/bulu putih).

Memang tidak dinafikan undi popular BN telah banyak menurun selepas 2008. Sepatutnya kita mengambil pengajaran daripada semua yang berlaku. Tetapi kita sengaja memejamkan mata. Pemimpin yang sudah terbukti korup terus dicalonkan dan bertanding. Bila berkempen, cakap tidak serupa bikin. Seekor kerbau yang membawa lumpur, hampir semuanya terpalit.

Benar, faktor Pek Mo memang menjadi beban kepada pentadbiran Perdana Menteri. Jika dahulu cerita-cerita Pek Mo hanya berligar di kawasan bandar, kini ia telah tersebar di luar bandar, sehinggakan orang aslipun tahu. Bau bangkai gajah memang tidak dapat ditutup lagi. Apapun kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Tidak perlulah lebih garpu daripada sudu seperti yang dilakukan oleh MCA. Orang Cina tidaklah begitu ramai berbanding dengan bumiputera Sarawak (juga Sabah). Kenapa perlu terlalu kecoh jika sokongan Cina berkurangan di sana? Yang penting jaga mereka yang tidak ultra kiasu.

Kekalahan SUPP tidak meninggalkan sebarang kesan kepada orang Cina. Sama ada ultra menang atau SUPP kalah, keadaan tidak banyak berubah. Yang menjadi kebimbangan saya adalah SUPP akan menjadi bersifat ultra kiasu bagi memenangi hati orang Cina seperti yang dilakukan oleh MCA dan tidak ketinggalan Gerakan. Soal moral dan akhlak sudah tidak penting lagi. Kalah atau menang soal lain, tetapi mesti ultra kiasu.

Apa tidaknya, jika parti ultra kiasu menang besar, parti bukan Melayu komponen BN kalah, mereka tetap menang, kerana ada kuota atau kerusi senator atau jawatan menteri yang menunggu. Maka tidak hairanlah mereka berebut-rebut mendapatkan kerusi senator apabila dikosongkan tanpa rasa malu.

Misalnya, apabila Murugiah (dahulunya PPP kini MIC) tidak disambung lagi tempoh kesenatorannya, maka berebut-rebutlah parti-parti nyamuk ini, mahukan ia diisi, sedangkan kekuatan mereka boleh dikatakan tidak seberapa. Kekuatan mereka hanya bergantung kepada sokongan Melayu melalui semangat BN. Inilah dinamakan menangpun untung, kalahpun masih untung. Siapa yang rugi? Melayu juga yang rugi. Bila Melayu rugi, maka Islam pun turut terpalit sama.

Justeru, jika UMNO masih lagi dengan keputusan meletakkan calon bukan Melayu bertanding dengan kawasan majoriti Melayu, ia hanya akan merugikan politik Melayu pada masa hadapan. Adakah adil orang Melayu dipaksa mengundi calon bukan Melayu, sedangkan bukan Melayu kurang mengundi Melayu (UMNO). Berbuat baik biarlah berpada.

Pada saya, jika parti-parti bukan Melayu komponen BN merasakan dirinya kuat, biarkan mereka bertanding menentang ultra kiasu sahaja. Kita lihat siapa yang akan menang? Jika ultra kiasu juga yang menang, ‘wajar’ mereka diberikan kerusi menteri bagi mewakili masyarakat Cina. Jika BN tidak tergamak, maka ketika itu bolehlah ditawarkan kepada parti Cina komponen BN yang kalah melalui lantikan sebagai senator. Mereka akan menolaknya jika bermaruah. Sama seperti percubaan MCA mendesak Ketua Menteri Sarawak supaya berundur kerana tidak mendapat sokongan Cina. Jangan cakap tidak serupa bikin.

Saya amat yakin MCA dan Gerakan sudah dapat menjangkakan nasib yang akan diterima, terutama pada pilihan raya umum akan datang. Sebagai persiapan, pemimpin-pemimpin mereka mula mengeluarkan kenyataan yang tidak sedap didengar oleh pemimpin Melayu dan Islam. Ada yang mengambil pendekatan pukul anak, sindir menantu. Tidak kurang pula yang begitu lancang dan celupar. Tidak menghairankan jika suara mereka akan menjadi sama sebiji seperti suara parti dan NGO ultra kiasu selepas ini, dengan nada sedikit berbeza. Strateginya memberikan tekanan.

Pendek kata, mereka perlu menjadi ultra kiasu untuk kekal relevan dan bertaring, kerana penampilan parti ultra kiasu telah menenggelamkan mereka. Tidak mustahil, kedua-dua parti ini akan bergabung dengan parti ultra kiasu untuk memberikan tekanan yang lebih hebat kepada kepimpinan Islam di negara kita. Realitinya sebenar telahpun berlaku. Malang sungguh umat Islam tidak dapat mengesan baunya.

Misalnya, artikel bertajuk ‘1Melayu 1Bumi’ terbitan Utusan Malaysia terus menerus dimanipulasikan untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri dan UMNO. Wal hal, tidaklah seserius bagaimana mereka menghina raja-raja Melayu dan menghina Islam sebagai perkara yang mempunyai keistimewaan dalam perlembagaan.

Pemimpin ultra kiasu Selangor bertaraf andartu ini mendesak Perdana Menteri supaya menggunakan kuasa untuk bertindak tegas terhadap akhbar tersebut dan penulisannya dengan kadar segera, bukannya setakat mengatakan itu adalah pandangan peribadi penulis. Ultra kiasu sungguh andartu ini. Saya cadangkan andartu ini berkahwin untuk meredakan sedikit nafsu bujangnya. Jangan terlalu bongkak dengan sedikit kemenangan pilihan raya Sarawak baru-baru ini. Sikit-sikit apa juga yang bertentangan dengan mereka, maka gagasan 1Malaysia dijadikan sebagai hujah. Fahamkah ultra kiasu ini apakah gagasan 1Malaysia sebenarnya?

1Malaysia bukan gagasan menjaga hati orang dan memuaskan hati semua pihak. Tetapi gagasan ini adalah idea mengurus dan mentadbir negara berasaskan perlembagaan. Perlembagaan adalah asas keadilan. Melaksanakan apa yang termaktub dalam perlembagaan adalah asas kepada kepada gagasan 1Malaysia, walaupun pada ultra kiasu mungkin tidak adil. Jika pemimpin ultra kiasu boleh sewenang-wenangnya mengata orang lain, kenapa tidak kebebasan bersuara akhbar tersebut?

Saya tidak bertujuan mempertahankan tulisan dan penulis tersebut. Tetapi lebih baik kita melihat apa yang benar, apa yang salah. Apakah selama ini ultra kiasu tidak mempertahankan 1Malaysia 1Cina? Saya masih teringat dan tidak dapat melupakan kenyataan pemimpin andartu ini sebaik sahaja mereka berjaya menguasai negeri Selangor dalam pilihan raya umum 2008.

Perkara pertama yang dicadangkan adalah untuk mewujudkan Bandar Cina di Selangor. Bandar Cina hendalah mengandungi universiti Cina, industri Cina dan lain-lain berasaskan Cina. Alasannya mudah, untuk menarik pelabur-pelabur Cina. Terang-terang kenyataan bercanggah dengan perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Tidak ada sesiapapun termasuk akhbar Utusan Malaysia mengutuk kenyataan tersebut dan meminta beliau meminta maaf.

Tiba-tiba tulisan ‘1Melayu 1Bumi’ sengaja diperbesar-besarkan. Wal hal, belum ada lagi modus operandinya. Ia hanya pendapat seorang penulis sahaja, bukan melambangkan pendapat keseluruhan akhbar tersebut mahupun UMNO. Sudah seminggu berlalu, isu ini terus diperbesarkan dan mereka sudah menuding jari menyalahkan Perdana Menteri, dan UMNO

Terkini, orang kuat MCA mengajak rakyat Malaysia memboikot akhbar Utusan. Saya hanya tersenyum sendirian. Akhbar Utusan pun tidak perlu bimbang. Saya yakin selama inipun mereka tidak pernah membaca Utusan. Pilihan mereka hanya Shin Chew, Nanyang dan akhbar perkauman sewaktu dengannya.

Akhirnya, saya ingin bertanya tidak cukupkah lagi dengan China Town dan universiti perkauman yang telah diluluskan oleh kerajaan, seolah-olah sama seperti universiti merdeka yang diperjuangkan selama ini? Sebenarnya, universiti merdeka telah wujud dengan nama yang berbeza. Jika tidak percaya, pergi ke Kajang, singgah ke Kolej New Era. Ini tidak termasuk IPTS yang lain seperti Universiti Terbuka Wawasan dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Soalan khas kepada andartu ultra kiasu ini dan juga ultra kiasu yang lain, adakah mendesak kerajaan mengikhtiraf sekolah vernacular setanding dan setaraf dengan sekolah kebangsaan tidak menggambarkan tindakan 1Cina? Yang peliknya, mereka mahukan kerajaan mengikhtiraf, tetapi pentadbiran dan pengurusan sekolah tersebut tidak dibenarkan kerajaan campurtangan langsung. Ini termasuk kurikulum, tanah, bangunan dan sebagainya. Adakah tindakan ini tidak melambang atau tidak sama dengan 1Melayu 1Bumi?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau.

Semoga catatan ini menjadi renongan seluruh Melayu Islam bagi sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri. Wallahu alam. - Anuar Ibrahim